KUBANG PASU: Kejadian menyayat hati yang menimpa Putri Qisya Nur Izzati, turut mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh, menziarahi kanak-kanak malang itu di rumah ibu saudaranya di Taman Sri Aman, lewat petang kelmarin. (Foto atas)
Bagi Sanusi, tiada kata-kata yang dapat diucapkan melainkan berharap agar Putri Qisya bersabar atas dugaan yang menimpa dirinya.
“Luluh hati melihatnya, yang kehilangan semua ahli keluarga dan menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, tetapi saya yakin Putri Qisya seorang anak yang kuat dan tabah,” kata beliau.
Sungguhpun begitu, beliau menasihatinya agar belajar bersungguh-sungguh dan melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama, untuk
mengelak merasa sunyi.
“Di asrama ada ramai kawan. Dapat hilangkan rasa sunyi. Pakcik dulu pun masa mengaji (belajar) pun tinggal di asrama.
“Tapi saya pujilah, sebab dia masih boleh senyum walaupun dalam kesedihan. Tetapi…mungkin waktu ini, masih ramai yang datang ziarah. Nanti bila dah tak ada orang datang, rasa sunyi akan mai (mari).
“Tapi tak apa, kalau sunyi boleh mesej atau ‘call’ mak cik (Tok Puan). Nanti mak cik mai,” kata beliau memujuk Putri Qisya.
Pada kesempatan itu, ahli keluarga mangsa kejadian turut berkongsi kisah sebelum mereka terputus hubungan dengan kedua ibu bapa Putri Qisya, sejak awal pagi, Sabtu 5 Julai.
Menurut salah seorang saudara mangsa, pada Sabtu, mereka berjumpa sebuah kenderaan model serta warna yang sama seperti milik ayah Putri Qisya, di tepi jalan.
“Pada mulanya kami menyangka kereta itu milik ayah Putri Qisya, tetapi bila tengok dari dekat, rupanya bukan dan nombor platnya juga tak sama,” jelas mereka.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah.
Pencarian enam beranak, yang dilaporkan hilang sebaik sahaja mereka keluar dari rumah saudaranya, di Taman Sri Aman, kira-kira pada jam 5.30 pagi, 5 Julai lalu, berakhir apabila mayat mereka dijumpai lemas di Sungai Korok, pagi kelmarin.
Jenazah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi,31, dan empat anaknya, Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Taqwa, Kampung Jerlun pada pukul 11:50 malam semalam.
Malam sebelum mayat enam beranak itu dijumpai, anak sulung pasangan itu, Putri Qisya Nur Izzati, 12, bermimpi berjumpa ayahnya.
Dalam mimpi itu, beliau berbaring di atas paha ayahnya yang sedang duduk di sofa dan ayahnya berpesan kepadanya agar jangan sedih dan jaga diri baik-baik sebab selepas ini ayahnya tidak boleh menjaganya lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2025
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment