KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kontroversi institusi kehakiman hari ini mengundang lebih banyak spekulasi.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, daripada sudut pandangan umum, kenyataan AGC menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.
Jelas beliau, sekiranya tanggungjawab Perdana Menteri di bawah Perlembagaan adalah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti cubaan mempengaruhi pelantikan hakim perlu dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur.
Apatah lagi, ujarnya, dalam keadaan sekarang, kenyataan AGC mengesahkan mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memang membincangkan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuaan.
“Bukanlah tempat atau hak AGC untuk menilai dan menentukan sama ada itu satu dakwaan pramatang atau bersifat spekulatif semata-mata.
“AGC sendiri mengakui bahawa pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah bersifat rahsia, jadi bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit.
“Sebab itulah, saya mengesyorkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dan memutuskan mengenai dakwaan-dakwaan ini, kerana selagi ia tidak diselesaikan, ia akan mengundang kemarahan kepada pentadbiran YAB Perdana Menteri sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Rafizi menambah, integriti badan kehakiman bukan terletak semata-mata kepada susun atur dan perjalanan proses mengikut prosedur.
Lebih penting, katanya, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai perkara-perkara secara keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku.
“Kenyataan yang dikeluarkan AGC hari ini mengesahkan bahawa kerajaan sendiri mengakui persoalan mengenai integriti badan kehakiman ini telah menjadi isu nasional.
“Demi mempertahankan imej kerajaan, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan saranan dari kami (ahli-ahli parlimen kerajaan) daripada terus menjadi sasaran kritikan pembangkang,” katanya.
AGC dalam kenyataan hari ini menegaskan, tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan khususnya jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, adalah tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
AGC memaklumkan, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu perlu dilihat daripada sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.
Semalam, sembilan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Rafizi dalam sidang mendesak mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Sidang akhbar yang turut disertai enam Ahli Parlimen PKR lain itu turut membangkitkan berkenaan dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat; pelantikan utama yang tergendala dan prosedur mesyuarat JAC yang dipersoalkan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment