KUALA LUMPUR – Kegagalan ekonomi manusiawi di bawah Kerajaan Madani menjadi antara punca utama yang menggerakkan gelombang himpunan `Turun Anwar’ oleh pembangkang Sabtu ini.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, ia dapat dilihat menerusi peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan asas seperti beras, minyak masak, ayam dan barang keperluan harian lain.
Selain itu pengurangan subsidi bersasar susulan langkah rasionalisasi subsidi seperti diesel dan elektrik turut menyebabkan kesan rantaian harga.
Dalam masa sama, ujar beliau, pelaksanaan cukai baharu seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas, cukai barangan mewah serta cadangan cukai keuntungan modal turut menambah beban rakyat.
Situasi itu, tambahnya, diburukkan lagi dengan masalah pasaran kerja yang tidak stabil termasuk isu pengangguran siswazah, gaji permulaan yang rendah serta peluang kerja yang terhad.
“Tekanan fiskal berterusan mengakibatkan peningkatan perbelanjaan sosial yang mungkin menjejaskan kelestarian kewangan negara serta ketidakseimbangan bagi penyediaan jaringan keselamatan sosial lalu merencatkan daya tahan seisi keluarga,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Razali, rakyat menilai ekonomi berdasarkan kehidupan harian, bukannya angka-angka makro yang dibentangkan kerajaan.
Katanya, walaupun kerajaan mengumumkan pelaburan berbilion-bilion ringgit dan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun rakyat kebanyakan masih bergelut dengan pendapatan tidak mencukupi serta harga barang yang naik.
“Apakah benar ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025?
“Apakah aliran masuk pelaburan langsung asing bersih yang dikatakan meningkat kepada RM51.5 bilion pada 2024 berbanding RM38.6 bilion pada 2023 benar-benar mencerminkan kehidupan masa kini pada 2025?
“Benarkah pelabur yakin sedangkan pengenaan tarif kepada 25 peratus tidak menggambarkan sebegitu rupa?” soalnya.
Dakwa Razali lagi, kegagalan ekonomi manusiawi di bawah Kerajaan Madani berpunca daripada komunikasi ekonomi yang tidak bersifat “rakyat-centred” sehingga mencetuskan jurang persepsi.
Katanya, rakyat melihat kerajaan lebih fokus kepada persepsi pelabur dan korporat bukan menyelesaikan isu rakyat marhaen.
Lebih memburukkan keadaan, tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi dilihat sebagai simbol reformasi, keadilan sosial dan pejuang rakyat.
Sebaliknya, dakwa beliau, kegagalan menunaikan perubahan yang dijanjikan menyebabkan rasa pengkhianatan moral dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).
“Malahan kesan gabungan politik tidak stabil – dua menteri PKR PH letak jawatan – apa maknanya. Kerajaan MADANI yang dibentuk atas dasar kompromi politik menyebabkan keputusan ekonomi tidak radikal.
“Kerana itu, media sosial sebagai medium kebangkitan. Media sosial menjadi medan utama untuk menyebarkan ketidakpuasan dan suara lantang rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment