KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menyediakan khidmat guaman kepada mana-mana penjawat awam yang berdepan tindakan disiplin kerana menyertai Himpunan Turun Anwar yang akan diadakan Sabtu ini.
Menyifatkan ancaman sedemikian sebagai zalim, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) berkata, penjawat awam mempunyai hak menyertai himpunan aman itu seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan menerusi kebebasan bersuara dan berhimpun.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan yang seolah-olah mengugut penjawat awam daripada menyertai perhimpunan aman menerusi pelbagai pekeliling dan kenyataan termasuk oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN); Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jelas beliau, penjawat awam, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta penuntut universiti kini dibayangi risiko dan dibelenggu rasa takut untuk berpolitik disebabkan surat pekeliling yang dikeluarkan agensi berkenaan.
“Sedangkan dulu semasa jadi pembangkang, kita (Pakatan Harapan) sama-sama menentang segala diskriminasi yang berlaku terhadap perhimpunan aman ini.
“Sampai berguling-guling di atas jalan raya termasuk sehingga merosakkan aset kerajaan, menterbalikkan kereta polis dan sebagainya…tetapi hari ini bila sudah dapat kuasa segala larangan dikeluarkan,” katanya pada sesi perbahasan usul Pembentangan Laporan SUHAKAM 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Awang Solahuddin mengingatkan yang mana AGC tidak boleh dilihat seolah-olah mengkritik keputusan Ketua Hakim Negara berhubung larangan menyertai perhimpunan aman.
Apatah lagi, ujarnya, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini pernah memutuskan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) tidak berperlembagaan.
Terdahulu, Pas merancang mengadakan Himpunan Turun Anwar di sekitar ibu negara Sabtu ini, dengan sasaran kehadiran kira-kira 50,000 orang sebagai manifestasi rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai acara himpunan tersebut kerana tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.
Menyokong gesaan itu, AGC menjelaskan penjawat awam adalah tertakluk kepada arahan khusus yang dikeluarkan oleh KSN berhubung larangan menyertai sebarang perhimpunan awam.
Dalam masa sama, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi surat edaran rasmi semalam turut memberi peringatan tegas supaya penjawat awam tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik serta mengekalkan kedudukan berkecuali daripada mana-mana parti. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment