GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mencadangkan agar pelaksanaan bantuan tunai RM100 yang diumumkan kerajaan semalam diperhalusi dengan pendekatan lebih bersasar.
Pengerusinya, L. Francis berkata, ia supaya bantuan tersebut benar-benar dapat memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan dalam situasi ekonomi semasa.
“Secara umumnya bantuan kewangan kepada rakyat merupakan langkah yang dialu-alukan, namun agihan menyeluruh kepada semua warganegara dewasa tanpa mengambil kira latar belakang kewangan mungkin mengurangkan keberkesanan inisiatif tersebut.
“Kami tidak menolak bahawa ada rakyat yang benar-benar memerlukan dan akan mendapat manfaat daripada bantuan ini. Jumlah RM100 itu walaupun kecil, tetap bermakna bagi sesetengah individu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, tumpuan seharusnya diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah atau mereka yang terkesan secara langsung dengan peningkatan kos sara hidup.
“Daripada mengagihkan kepada semua, termasuk golongan berpendapatan tinggi, kami berpandangan lebih baik jika dana tersebut difokuskan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Ia bukan sahaja lebih efektif, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap sen dibelanjakan memberi kesan yang maksimum,” katanya.
Tambah Francis, pendekatan bersasar seperti itu selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan kebajikan rakyat serta kecekapan dalam pelaksanaan dasar.
Kerajaan semalam mengumumkan pemberian RM100 secara one-off kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos ini sempena Hari Kebangsaan sehingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai di semua daerah seluruh negara.
“Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini. Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” katanya dalam pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment