KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, Thulasi Manogaran yang didakwanya hanya bermain politik murahan apabila mengkritik MIC.
Sedangkan DAP sendiri gagal menunaikan janji-janji besar mereka kepada rakyat, katanya.
Mengulas kenyataan Thulasi bertajuk MIC: Feeling Cheated? Time to Walk Out or Work It Out – No More Whining! Arvind menyifatkan ia sebagai kenyataan oportunisme politik dan amnesia terpilih serta menyeru DAP supaya cermin diri sebelum mahu mengajar orang lain.
“Sebelum sibuk menyerang MIC, lebih baik Thulasi tanya dirinya sendiri sama ada DAP sudah berjaya menunaikan janji-janji mereka? Ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, mereka menjanjikan 10 perkara dalam 100 hari. Mana semuanya? Janji-janji itu tinggal sekadar retorik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara kegagalan paling nyata ialah janji penangguhan bayaran balik PTPTN untuk graduan bergaji bawah RM4,000, penghapusan senarai hitam peminjam PTPTN dan penciptaan sejuta peluang pekerjaan yang sekadar menjadi angan-angan kosong.
“Janji nak turunkan kos sara hidup pun bukan saja gagal, malah rakyat semakin terhimpit. Jadi DAP ini ada asas moral ke untuk serang MIC? Jangan hanya pandai menyalak dari tepi, tapi gagal buat kerja bila diberi peluang,” katanya.
Arvind turut mengecam naratif DAP yang mendakwa penurunan harga minyak akan menyelesaikan kos sara hidup, sambil menyifatkannya sebagai populis murahan untuk menipu rakyat.
“Kos sara hidup takkan selesai dengan retorik. Ia melibatkan inflasi, kejatuhan ringgit, kegagalan pengurusan subsidi dan rantaian bekalan global. Kalau DAP ada penyelesaian sebenar, buktikan. Jangan ulang skrip lama untuk raih tepukan kosong,” tegasnya.
Dalam isu masyarakat India, Arvind menuduh DAP gagal membuktikan sebagai pembela komuniti mendakwa mereka tidak melakukan perubahan bermakna terhadap pendidikan sekolah Tamil, isu kewarganegaraan masyarakat tanpa negara serta pembangunan belia India.
“DAP senyap bila komuniti India diuji. Ingat kes Zamri Vinoth yang hina agama Hindu? DAP ada Timbalan Menteri Undang-Undang waktu itu, tapi tiada tindakan tegas. MIC pula berdiri teguh memperjuangkan keadilan. Bezanya, kami tak bermain persepsi, kami turun buat kerja,” ujarnya.
Arvind menegaskan serangan berterusan Thulasi terhadap MIC hanyalah cara menutup kegagalan DAP sendiri.
“Thulasi, hentikan drama politik murahan. Komuniti kita perlukan pemimpin yang membina, bukan meruntuh. MIC bekerja dari biasiswa, latihan kemahiran, sokongan rumah ibadat hingga isu perumahan. Apa yang DAP buat? Buat bising di Parlimen tapi gagal beri hasil.
“Kamu teruskan mentaliti pembangkang dengan hanya lakukan serangan manakala kami di MIC akan terus menjadi suara lantang dan berani yang bekerja untuk komuniti India, bukan sekadar menjual retorik politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment