Loke berkata pam saliran yang menyebabkan terowong Aerotrain ditakungi air hujan pagi ini bukan sebahagian daripada infrastruktur sistem rel baharu, tetapi kemudahan lama lapangan terbang.
“Insiden itu bukan disebabkan oleh sebarang kelemahan dalam sistem Aerotrain itu sendiri, dan juga bukan kerana tren ‘tidak tahan hujan lebat’ seperti yang disangka setengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
“Apabila pam gagal beroperasi seperti yang direka, air hujan bertakung dalam terowong dan mencapai ambang keselamatan, secara automatik mengaktifkan sistem keselamatan Aerotrain untuk menggantung operasi sebagai langkah berjaga-jaga.”
Loke berkata satu lagi insiden pada Rabu berlaku apabila ciri keselamatan Aerotrain menyebabkan sistem dihentikan selepas seorang penumpang menghalang pintu daripada ditutup.
Beliau berkata ini untuk mengelak pintu tertutup secara paksa dan mencederakan penumpang, sambil menambah ini adalah langkah keselamatan yang sengaja dibina dalam sistem baharu, yang mula beroperasi Selasa lalu.
Dua insiden itu “menunjukkan integriti dan kebolehpercayaan sistem keselamatan Aerotrain”, katanya. “Aset Aerotrain baharu di KLIA dibina untuk memenuhi piawaian antarabangsa dan sedang beroperasi dengan baik.”
Sebelum ini, pengguna Facebook, Ahmad Ramadzan Soid mendakwa salah satu tren itu rosak, walaupun satu lagi tren masih beroperasi. Netizen lain pula mendakwa pintu tren tersangkut akibat tindakan seorang penumpang.
Hari ini, penulis blog pelancongan CK Ng memuat naik hantaran menyatakan bahawa tren tidak beroperasi dan penumpang dibawa ke terminal satelit menggunakan bas.
Bagaimanapun, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan itu hanya digantung sementara selepas hujan lebat menyebabkan air bertakung dalam terowong laluan tren.
Aerotrain sebelum ini menjadi tulang belakang sistem pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998, tetapi dihentikan pada 2023 selepas mengalami kerosakan.
Sejak itu, penumpang di KLIA Terminal 1 dipindahkan ke terminal satelit – yang menempatkan kebanyakan penerbangan antarabangsa – dengan menaiki bas.
Perkhidmatan Aerotrain baharu mula beroperasi pada 1 Julai lalu, melibatkan tiga tren dengan kapasiti maksimum 270 penumpang setiap satu.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment