KUALA LUMPUR – Sabah berhak untuk dilibatkan dalam apa jua kerangka rundingan bersama yang melibatkan kawasan pertikaian Ambalat.
Sehubungan itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan memastikan suara negeri itu dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepada Kerajaan Pusat yang mana Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini, seharusnya membuka ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk turut serta dalam rundingan strategik tersebut.
“Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, memandangkan Sabah kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kedaulatan Sabah dalam isu Ambalat tersebut.
Tegasnya, isu yang melibatkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek.
“Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Bung Moktar menggesa semua pihak mengelak daripada mengheret isu sempadan maritim itu ke gelanggang sentimen politik tempatan kerana hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar.
Sebaliknya, ujar beliau, pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan Ambalat.
“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar kekal rasional, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan negara, sambil memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment