NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ambalat: Jangan rosakkan kedaulatan negara dengan janji manis



KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh secara semberono menawarkan janji-janji manis kepada rakyat berhubung Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Blok Ambalat seperti yang dilakukan ketika ini.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, isu Ambalat sangat penting dalam hubungan Malaysia dan Indonesia dan boleh meningkatkan ketegangan hubungan kedua-dua negara, bahkan menggugat keselamatan serantau jika tidak dirunding secara bijaksana dan berhemah.

Ini kerana, menurutnya, blok-blok di Ambalat mempunyai keistimewaan yang kuat jika dilihat dari perspektif ekonomi dan pendapatan negara, dengan kemewahan sumber gas asli dan petroleum yang tertanam di dasar blok minyak berkenaan.

Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya JDA itu gagal, kesan terhadap ekonomi sangat melebar termasuk menyebabkan pelaburan minyak dan gas terganggu.

Selain itu, ujarnya, ketidaktentuan status wilayah juga menyebabkan syarikat minyak berhati-hati untuk melabur menyebabkan potensi kerugian pelaburan bernilai berbilion dolar AS jika konflik tidak diselesaikan serta aktiviti eksplorasi dan pengeluaran ditangguh atau dibatalkan.

“Kedua-dua negara juga berisiko kehilangan hasil royalti dan cukai daripada sumber minyak kerana Malaysia dan Indonesia masing-masing bergantung kepada sektor minyak dan gas untuk pendapatan negara.

“Di samping itu, kawasan Ambalat juga berdekatan dengan laluan perkapalan antarabangsa dan sebarang ketegangan boleh menjejaskan keselamatan laluan dan aktiviti perkapalan termasuk risiko meningkat untuk kos insurans perkapalan dan pelabuhan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, menurut Razali, sekiranya JDA Ambalat berjaya dicapai dengan semangat Asean, beliau berharap manfaat itu akan diperolehi menerusi pendapatan minyak dan gas seperti di Terengganu.

Katanya, jika Malaysia menguasai kawasan itu atau berkongsi hasil, ia berpotensi menjana ratusan juta ringgit setahun menerusi royalti minyak dan gas kepada Kerajaan Persekutuan, cukai korporat oleh syarikat minyak dan peluang konsesi kepada syarikat tempat atau berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam masa sama, ujarnya, banyak peluang pekerjaan dan industri sokongan dalam bidang kejuruteraan, keselamatan laut, logistik dan sokongan pelantar minyak dapat diwujudkan.

“Tidak terkecuali pembangunan Sabah dan Wilayah Timur yang mana hasil daripada projek minyak itu boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur tempatan, termasuk jalan, pelabuhan, dan pendidikan.

“Pelaburan asing ke Sabah juga dijangka meningkat kerana kestabilan dan potensi sumber asli dan ini boleh membantu mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo