NIBONG TEBAL – Sebanyak 27 aduan membabitkan pelbagai pelanggaran hak pekerjaan diterima daripada pekerja syarikat bas bermula 2024 hingga Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, lapan aduan diterima pada 2024 manakala 19 aduan bagi tempoh enam pertama tahun ini termasuk satu kes kegagalan membayar gaji minimum.
Jelas beliau, aduan tersebut merangkumi kegagalan membayar gaji, tiada bayaran kerja lebih masa, faedah penamatan kerja, serta ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang seperti Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
“Pematuhan terhadap gaji minimum adalah kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana majikan.
“Saya ingin menyeru semua majikan untuk mematuhi undang-undang gaji minimum. Gaji minimum ini bukan saranan, bukan cadangan, tapi suatu kewajipan yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Jabatan Tenaga Kerja sentiasa menjalankan tinjauan dan pemeriksaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua sektor,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pemandu bas ekspres yang mendakwa tidak mendapat gaji minimum RM1,700 daripada majikan meskipun ia telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Tambah Steven, Penawar Express Line Bhd menjadi satu-satunya syarikat bas yang telah dikenakan tindakan pendakwaan pada tahun lalu.
“Syarikat itu didakwa dua kali di bawah Seksyen 43 kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum.
“Ini menunjukkan Kementerian tidak akan berkompromi terhadap majikan yang melanggar hak pekerja, kita serius untuk memastikan perlindungan sewajarnya diberikan kepada semua pekerja, tanpa mengira sektor,” tegasnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment