KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin yang sangat berpengaruh yang berjaya membentuk Malaysia sehingga menjadi sebuah negara moden, mempunyai hubungan dengan negara lain serta dikenali dunia hari ini, kata bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Dalam ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-100 negarawan itu, Hsien Loong turut mengiktiraf sumbangan Dr Mahathir kepada rantau Asia Tenggara.
Jelasnya, di peringkat serantau, Dr Mahathir memperjuangkan perpaduan ASEAN, dengan menyedari bahawa hanya dengan bersatu, negara-negara anggota dapat mengekalkan dan memanfaatkan kemerdekaan yang telah diperoleh dengan susah payah.
Tambah beliau, selepas puluhan tahun berbakti, Dr Mahathir telah memberikan impak yang signifikan kepada Malaysia dan ASEAN.
“Singapura dan Malaysia telah lama menjalin hubungan yang mendalam dan pelbagai dimensi.
“Kedua-dua negara kita tidak sentiasa sependapat dalam setiap isu, namun kita sentiasa bekerjasama untuk mengatasi perbezaan dan mencari titik persamaan.
“Saya dan para pendahulu saya menghargai peluang untuk bekerjasama rapat dengan Tun Mahathir.
“Kami telah mencapai kemajuan dalam banyak perkara sepanjang tempoh masing-masing sebagai Perdana Menteri, dan usaha ini akan diteruskan oleh para pengganti kami,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Hsien Loong turut menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-99 tidak lama lagi.
Menurut beliau, isteri Dr Mahathir itu memaikan peranan sangat besar dalam memperjuangkan pelbagai isu sosial dan kesihatan rakyat.
“Dr. Siti Hasmah telah memainkan peranan penting dalam bidang penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta memperjuangkan celik huruf di Malaysia. Sumbangan beliau tidak wajar dilupakan.
“Selamat Hari Lahir kepada Tun dan Dr. Siti Hasmah. Semoga terus dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment