NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pencemaran Sungai Air Batu sudah 20 tahun, jangan hanya asyik berpolitik – Penduduk



MELAKA – Lebih 50 petani dan penternak di Kampung Paya Rumput Jaya , Sungai Udang di sini mendesak kerajaan segera menoktahkan isu pencemaran air busuk di Sungai Air Batu kampung berkenaan yang berlarutan sejak dua dekad lalu.

Petani, Mohd Fadli Hassan, 41 berkata, pemimpin kerajaan negeri sudah silih berganti baik pembangkang mahu pun kerajaan namun permasalahan itu yang menjejaskan pendapatan mereka sehingga lebih 70 peratus masih belum dapat diselesaikan.

“Kerajaan sudah bertukar tangan pun masih tiada tindakan langsung yang dapat menamatkan isu pencemaran sungai utama ini yang berlaku sejak tahun 2000.

“Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sepatutnya datang dan bawa kami menyelusuri sungai ini mencari punca pencemaran busuk ini.

“Sudah enam hari saya rakam video dan ada bukti air ini mula-mula jernih kemudian hitam mungkin berunca daripada pelepasan air larut resapan (leachate),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan air yang berbau busuk dipercayai leachate daripada tapak pelupusan sampah Sungai Udang menjejaskan kualiti hasil tanaman termasuk lebih 4,000 batang pokok bendi yang diusahakannya.

Luahan sama dilontarkan, Hanafi Zainal, 53, apabila hasil tuaian bendi diusahakannya sejak 25 tahun lalu merosot lebih 70 peratus kerana mendapat sumber air tercemar dari sungai utama penduduk kampung itu.

“Tolonglah ada rasa kasihan sikit kepada kami yang sudah berdepan masalah pencemaran ini berulang kali sejak berpuluh tahun sampaikan dah berbuih mulut cakap tapi tak selesai.

“Kalau nak berpolitik pun, janganlah sampai ia jejaskan periuk nasi kami yang sudah lama menanti agar isu pencemaran sejak berkurun lamanya ini dapat diselesaikan,” tegasnya lagi.

Aduan penduduk itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN) yang sudah memperjuangkan isu berkenaan sejak menang kerusi itu empat tahun lalu.

“Saya tidak peduli dari manakah punca pencemaran ini tapi mahu ia segera diselesaikan demi kebajikan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan saya.

“Masalah pencemaran ini sudah berlarutan sekian lama dan sepatutnya tidak ditangguhkan sehingga menjejaskan kehidupan seharian dan ekonomi penduduk,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo