NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Timbang, perkenal semula pendekatan `Najibnomics’ – UMNO Kedah



KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyifatkan mekanisme Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah jauh lebih menyeluruh, telus dan mampan berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan kini.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, GST beroperasi melalui sistem percukaian berperingkat yang mana cukai dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan daripada pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah kepada pengguna akhir.

Mekanisme itu, menurut beliau, bukan sahaja meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, malah turut mengurangkan risiko ketirisan dan aktiviti ekonomi bayangan.

“Apa yang sering tidak disebut ialah GST pada asasnya telah direka bentuk dengan penuh tanggungjawab terhadap rakyat.

“Semasa pelaksanaannya dahulu, pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, sayur-sayuran, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan telah dikecualikan daripada GST.

“Malah, saya mengiktiraf keberkesanan mekanisme pemulangan tunai (BR1M) yang diwujudkan ketika itu bagi mengimbangi kesan kos sara hidup terhadap golongan B40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, dengan sistem yang cekap dan rangka penguatkuasaan yang lebih telus, GST telah terbukti menjadi penyumbang besar kepada pendapatan negara.

Katanya, pendapatan yang bertambah menerusi GST pula memungkinkan pelaksanaan pelbagai inisiatif rakyat seperti projek infrastruktur berskala besar, bantuan tunai bersasar dan usaha berterusan untuk mengurangkan defisit fiskal negara.

“Saya percaya pendekatan ekonomi berasaskan fakta dan angka yang digerakkan melalui apa yang dikenali sebagai “Najibnomics” dahulu wajar diberi pertimbangan semula.

“Ia bukan sekadar retorik ekonomi, tetapi satu strategi berpandangan jauh berteraskan prinsip ‘berbelanja untuk menjana pertumbuhan’ sambil memastikan pengagihan semula kekayaan yang lebih saksama kepada rakyat terbanyak, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Menurut Shaiful Hazizy, SST yang hanya mengenakan cukai pada peringkat akhir terlalu bergantung kepada penguatkuasaan manual yang membuka ruang kepada ketirisan.

Sebaliknya, ujar beliau, GST pula adalah reformasi fiskal sebenar yang bukan sahaja menjana pendapatan negara, malah memperkukuhkan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

“Sudah tiba masanya kita berani menilai semula dasar-dasar yang terbukti berkesan.

“Rakyat Malaysia berhak menikmati sistem percukaian yang telus, cekap dan adil dan GST memenuhi semua ciri tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo