NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak sensitif beban rakyat dengan naikkan tarif letrik, luaskan SST



KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah langkah kerajaan meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menaikkan tarif elektrik asas yang dijadual bermula 1 Julai ini dengan menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap beban rakyat.

Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar, berkata pelaksanaan dasar fiskal itu bukan sahaja menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, malah turut memberi kesan besar kepada mahasiswa dan perusahaan kecil.

“Bahan jenaka dan kebodohan apa yang kerajaan lakukan sekarang? Kenaikan SST bukan sekadar polisi, ia adalah tikaman ke jantung rakyat marhaen Malaysia.

“Pada Mac 2024, kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus, menyasarkan sektor seperti kewangan, teknologi maklumat (IT) dan hiburan, sementara kemewahan golongan elit terus dilindungi.

“Kini, Julai 2025, mereka meluaskan cukai ini kepada barangan bukan keperluan dan perkhidmatan kritikal kesihatan swasta, pendidikan, malah logistik,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa barangan keperluan asas dikecualikan daripada cukai, rakyat tetap terbeban dengan kos perkhidmatan yang akan meningkat.

“Rakyat perlu membayar lebih untuk mendapat rawatan, menuntut ilmu dan menjalani kehidupan harian. Kesan inflasi tidak dapat dielakkan dan akhirnya semua kos akan dipindahkan semula kepada pengguna,” ujarnya.

Menurut Azamuddin, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha menutup ketirisan, mengurus kewangan secara berhemah dan melibatkan semua pihak berkepentingan sebelum melaksanakan dasar baharu.

“Walaupun kononnya subsidi masih ada, hakikatnya tarif asas melonjak naik. Ini akan menyebabkan kos operasi perniagaan melonjak naik secara mendadak, dan tanpa keraguan, kos ini akan dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna dalam bentuk harga barang dan perkhidmatan yang melambung tinggi! 

“Dari makanan di meja makan, pakaian di badan, hinggalah yuran sekolah anak-anak, semuanya akan menjadi mahal.

Justeru, beliau menggesa kepada Kerajaan Madani untuk membuat suatu penilaian menyeluruh dengan penglibatan dengan semua pihak berkepentingan bukan membuat keputusan secara unilateral yang menindas rakyat.

“Kami juga menuntut tangguh atau batalkan terus polisi melampau ini. Kerajaan ini telah gagal! Gagal mencari solusi mampan. Gagal mengawal ketirisan, gagal mengutamakan rakyat.

“Sebaliknya, mereka memilih jalan mudah dengan merompak dari poket rakyat yang sudah sedia kempis. Kerajaan tekan kami. Tekanan kami rakyat akan melimpah ke jalanan pada hujung minggu ini! Bangkitlah! Bersatulah!” katanya.

Untuk rekod, bermula 1 Julai 2025, kerajaan akan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas beberapa barangan pilihan seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri.

Selain itu, skop Cukai Perkhidmatan turut diperluas meliputi enam kategori perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, kadar cukai lapan peratus akan dikenakan kepada penyedia perkhidmatan yang mencapai ambang pendapatan RM500,000 setahun. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo