KUALA LUMPUR – Satu tindakan proaktif mesti diambil bagi menamatkan keresahan umat Islam terhadap pendirian Mahkamah Persekutuan bahawa fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan berkata, walaupun ia tidak melibatkan fatwa terbabit secara keseluruhan, ia menjadikan fatwa tidak lagi berfungsi seperti yang sepatutnya.
“Pertikaian antara perundangan syariah dan sivil akan terus berlaku.
“Setiap kali ia terjadi maka umat Islam di Malaysia akan resah tentang sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kekecewaan.
“Ia boleh melarat sehingga menghakis kepercayaan umat Islam terhadap keutuhan perundangan negara bagi menjamin kedaulatan undang-undang syariah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas pendirian Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum (Malaysia) kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Menurut Amidi, satu tindakan proaktif mesti diambil bagi menamatkan polemik ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihak perundangan yang diketuai Ketua Hakim Negara sepatutnya menggunakan keterbukaan Majlis Raja-raja untuk berbincang bagi mengelakkan salah faham dan menamatkan keresahan umat Islam dalam kes rayuan SIS Forum (Malaysia) itu.
Tambahnya, perkara tersebut sepatutya menjadi keutamaan Tengku Maimun ketika dilantik menjadi Ketua Hakim Negara ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2019
“Malangnya sehingga di penghujung perkhidmatan beliau, keresahan umat Islam terus berpanjangan,” katanyaa menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Amidi mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar menimbangkan individu yang bakal dilantik sebagai Ketua Hakim Negara mampu untuk memainkan peranan secara berkesan dalam mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment