PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia), tidak membatalkan keabsahan pemakaian fatwa yang melarang penganut Islam mengamalkan fahaman pluralisme dan liberalisme.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang menegaskan, individu beragama Islam yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, kekal terikat dengan fatwa yang dikeluarkan.
“Ini kerana sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak bergerak sendiri, sebaliknya digerakkan oleh individu-individu tertentu,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Musa, Mahkamah Persekutuan telah menjalankan tugas mentafsir peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkataan perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ dalam Butiran 1 Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Butiran 1’).
Ujar beliau, keputusan itu hanya berkenaan had pemakaian fatwa tersebut kepada orang-orang sebenar (natural persons) dan bukan orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat, pertubuhan atau institusi.
“Tiada pihak yang kalah atau menang dalam keputusan tersebut.
“Ini bermaksud kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan agama Islam ke atas penganutnya masih kekal dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama negeri (Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri),” ujarnya.
Menurut Musa, panel hakim tidak membuat apa-apa komen mahu pun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut khususnya terhadap frasa berbunyi:
“… fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ dan ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.’
Sehubungan itu, PGSM menggesa usaha penyemakan dan penambahbaikan semua peruntukan undang-undang khususnya yang melibatkan undang-undang berkaitan agama Islam dan umat Islam perlu dilakukan dari semasa ke semasa dengan melibatkan sesi libat urus pelbagai pihak.
Ujarnya, tindakan itu memenuhi keperluan hukum syarak, malah selari dengan undang-undang lain yang terpakai di negara ini.
PGSM mengeluarkan kenyataan itu susulan keputusan panel empat hakim Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk mencabar fatwa yang mengisytiharkan ia menyeleweng dan sesat.
Dalam keputusan majoriti 3-1, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Beliau bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan tersebut manakala Datuk Abu Bakar Jais mencapai keputusan menentang dan menolak rayuan itu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment