NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cukai berlebihan, Kerajaan terus jadikan rakyat sumber pendapatan



KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam tindakan kerajaan Madani yang didakwa terus bergantung kepada cukai rakyat sebagai jalan pintas menjana pendapatan negara, tanpa pelan jangka panjang yang berteraskan penciptaan kekayaan sebenar.

Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera merangkap Ahli Dewan Tertinggi Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini bukan sahaja tidak memberi pulangan setimpal kepada pertumbuhan ekonomi, malah membebankan rakyat tanpa impak positif yang ketara.

“Ini menunjukkan kelemahan ketara dalam perancangan fiskal negara seolah-olah satu-satunya cara kerajaan untuk ‘buat duit’ adalah dengan mengorek poket rakyat sendiri.

“Sebuah kerajaan yang benar-benar dominan ialah kerajaan yang mencipta kekayaan, bukan mencaras hasil rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Putra turut membangkitkan isu kebergantungan kerajaan kepada pelaburan asing, yang menurutnya tidak disertai usaha memperkukuh pelaburan tempatan dan kuasa beli rakyat.

Ini kerana, ujar beliau, ia memperlihatkan ketidakstabilan struktur ekonomi negara secara keseluruhan.

Lebih mengecewakan katanya, mulai 1 Julai 2025, kerajaan Madani dijangka menyemak semula kadar cukai jualan serta memperluaskan skop cukai perkhidmatan dan langkah ini dakwanya dilihat cubaan terang-terangan menjadikan rakyat sebagai penyelesai masalah kewangan negara.

“Walaupun kerajaan cuba menyedapkan langkah ini dengan istilah seperti ‘pelaksanaan bersasar’ dan ‘tidak bebankan rakyat terbanyak’, realitinya lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai.

“Ini adalah cara halus untuk meningkatkan hasil tanpa membetulkan masalah sebenar ketirisan, pembaziran dan pengurusan kewangan yang lemah dalam pentadbiran,” katanya lagi.

Menurut beliau, janji kerajaan untuk mengecualikan barangan asas juga tidak memberikan jaminan kukuh kerana dalam realiti harian, rakyat tetap menggunakan barangan dan perkhidmatan ‘bukan asas’ yang akhirnya turut dikenakan cukai.

Tambahnya, langkah kerajaan itu hanya akan terus menekan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang kini sudah pun berdepan kos sara hidup yang tinggi.

“Di saat kerajaan sepatutnya fokus menjana pendapatan melalui pembaharuan ekonomi, pelaburan strategik, dan pengurusan aset negara yang cekap, mereka memilih jalan mudah: kenakan lebih banyak cukai kepada rakyat. Ini bukan strategi ekonomi – ini strategi kelemahan yang diselindung di sebalik istilah ‘pengukuhan fiskal’,” ujarnya.

Putra turut menyuarakan kebimbangan bahawa dasar fiskal kerajaan Madani seolah-olah mengikut telunjuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tanpa mempertimbangkan beban sebenar yang ditanggung rakyat marhaen.

“Rakyat terus tertindas dan ditekan sehingga kos sara hidup terus meningkat tanpa sedikit pun rasa kasihan belas kepada golongan miskin,” kata Mohamad Izwan.

Tambahnya, Putra menuntut agar kerajaan menghentikan pendekatan lapuk yang berasaskan cukai semata-mata dan sebaliknya mula membina semula asas ekonomi negara berteraskan penciptaan kekayaan, pengembangan industri tempatan serta pemberdayaan rakyat sebagai pemacu utama ekonomi. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo