NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anak perempuan Tommy Thomas cabar PM Australia



KUALA LUMPUR - Anak perempuan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas akan bertanding menentang Perdana Menteri, Anthony Albanese di kawasan Grayndler pada Pilihan Raya Persekutuan Australia, 3 Mei ini.

Beliau bertanding atas tiket parti The Greens.

Dalam satu artikel di laman web The Greens, Hannah, seorang peguam, aktivis dan penulis berkata, latar belakang beliau di Malaysia banyak membentuk pandangan hidupnya.

"Saya bertuah membesar di Malaysia dalam sebuah keluarga yang mempunyai sejarah panjang memperjuangkan nilai progresif, yang penglibatan politik dan aktivisme sentiasa digalakkan. Jadi, mungkin sudah menjadi ketentuan bahawa saya akhirnya menyertai The Greens setelah Australia menjadi rumah saya.

"Peristiwa yang menjadi pencetus adalah ketika pentadbiran (Tony) Abbott dan menyaksikan kerjasama Liberal-Labor dalam kekejaman terhadap pelarian dan pencari suaka. The Greens adalah satu-satunya parti yang menentang kekejaman dan perkauman itu, dan keadaan itu masih berterusan hingga hari ini," katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding di Grayndler dan mencabar perdana menteri, Hannah menyenaraikan tiga sebab utama, dengan yang paling ketara ialah kekejaman berterusan Israel terhadap Gaza dan rakyatnya.

"Pertama, sukar untuk menerima hakikat bahawa pembunuhan beramai-ramai dapat disaksikan secara langsung tanpa tindakan sewajarnya daripada wakil rakyat kawasan berkenaan, iaitu perdana menteri sendiri.

"Terdapat sangat sedikit individu di dunia ini yang mempunyai kuasa untuk mengekang mesin perang Israel ketika ia membunuh rakyat Palestin secara beramai-ramai, tetapi ahli parlimen tempatan kita adalah seorang daripadanya. Malangnya, beliau gagal bertindak dan perlu dipertanggungjawabkan," katanya.

Dalam satu temu bual bersama The Feed SBS, Hannah yang merupakan calon termuda dalam kalangan lima pencabar Albanese berkata, beliau lebih memahami isu-isu yang dihadapi oleh generasi muda, termasuk berkaitan penyewaan, pembelian rumah dan perancangan keluarga.

Beliau berkata, walaupun ahli politik kini digesa menggunakan media sosial untuk menarik perhatian pengundi muda, apa yang sepatutnya dilakukan adalah "menggubal lebih banyak dasar yang benar-benar membantu golongan muda”.

Hannah turut berkongsi perasaannya mencabar perdana menteri di Grayndler.

"Ia sesuatu yang gila untuk dilakukan, tetapi pada masa sama sangat mengujakan.

"Saya berpindah ke negara ini pada 2009 sebagai pelajar antarabangsa. Jika pada masa itu seseorang memberitahu saya bahawa saya akan bertanding menentang perdana menteri negara ini, sudah tentu saya tidak akan mempercayainya,” katanya.

Pilihan Raya Persekutuan 3 Mei ini akan memilih 150 Ahli Parlimen dan 40 daripada 76 ahli Dewan Senat. - Bernama









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Majoriti susut’ di Ayer Kuning amaran pada BN - Pemuda PAS



Majoriti yang semakin menyusut dalam pilihan raya kecil Ayer Kuning merupakan amaran tegas kepada Barisan Nasional (BN) bahawa keyakinan awam terhadap mereka semakin terhakis, kata Pemuda PAS.

Walaupun Ayer Kuning sudah lama menjadi kubu kuat BN, pengurangan margin tersebut petunjuk awal perubahan arus politik yang perlu diambil serius, kata Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar (gambar bawah).

Sukri berkata keputusan tersebut mencerminkan beberapa realiti penting yang memerlukan perhatian serius, terutamanya oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

"Keyakinan yang dilaungkan oleh Menteri Besar Perak bahawa akan berlaku gelombang besar ‘transfer vote’ sehingga mampu mencapai majoriti 18,000 undi ternyata jauh meleset.

"Hakikatnya, Perikatan Nasional (PN) kekal teguh dengan undi teras sekitar 5,000 hingga 6,000 pengundi, menunjukkan bahawa sokongan akar umbi kepada PN tetap utuh dan tidak terjejas walaupun diasak hebat oleh kekuatan jentera kerajaan,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Wakil BN Mohamad Yusri menang kerusi negeri itu dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari PN yang mendapat 6,059 undi dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia yang meraih 1,106 undi.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, Ishsam meraih 9,088 undi menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi menentang calon PH Mohd Nazri Hashim (6,975 undi), calon PN Farid (6,812 undi), calon PSM (506) dan calon Pejuang Maziah Salim (105 undi).

Gabungan undi BN dan PH - yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 - memperoleh 68 peratus undi pada pilihan raya kecil semalam. Ini bermakna gabungan Madani meraih 60.7 peratus dalam pilihan raya kecil ini — penurunan lebih tujuh mata peratus.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini juga mencatatkan penurunan sebanyak 15.4 peratus berbanding 73.47 peratus yang direkodkan pada pilihan raya negeri lalu.

Meskipun demikian, Pemuda PAS mendakwa tiada pemindahan undi yang signifikan dari penyokong PH ke BN.

Sebaliknya, Sukri berkata rakyat telah menghantar isyarat penolakan yang jelas terhadap prestasi kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan.

“Lebih ketara, kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina memperlihatkan bahawa pengundi teras PH sendiri tidak bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada BN, satu mesej penolakan yang sangat jelas terhadap kerjasama politik antara dua parti ini,” dakwanya.

Berikutan ini, Sukri menggesa PN untuk terus mengukuhkan peranannya dalam memastikan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Segala isu yang dibangkitkan sepanjang kempen PRK Ayer Kuning — yang banyak dinafikan oleh kerajaan negeri — perlu terus diperjuangkan agar suara rakyat tidak tenggelam di dalam dewan.

"Lebih-lebih lagi dengan dominasi BN dalam kerajaan negeri, harapan rakyat kini bergantung kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dari PN untuk membawa aspirasi dan keperitan sebenar rakyat.

"PAS menegaskan bahawa Perikatan Nasional akan terus istiqamah memperjuangkan hak rakyat, membela nasib semua golongan dan membina keyakinan menuju gelombang perubahan yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang,” katanya.



Sumber | Malaysiakini 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Tok Him: PN kalah sebab sombong, strategi 'tidak cerdik'



Menyampaikan pandangan ikhlasnya Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata kesombongan pemimpin PN menjadi punca kekalahan calon parti itu pada PRK DUN Ayer Kuning, semalam.

Menurutnya, ia melibatkan kegagalan pemimpin PN mendapatkan maklum balas dari segi strategi dan isu daripada pemegang taruh.

“Kesombongan pemimpin-pemimpin PN untuk mendapat maklum balas dari segi strategi dan isu dari pihak-pihak pemegang taruh langsung tidak diberi perhatian dan sombong.

“Kalau terus begini selesalah PH dan BN khususnya Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) menghadapi PRU ke-16. Hiduplah PN dengan mimpi di siang hari,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Ibrahim yang juga dikenali sebagai Tok Him memberi analisis punca kekalahan PN pada PRK berkenaan.

Katanya, PN terlalu ghairah dengan mainkan sentimen ‘UmDap’ untuk timbulkan kebencian orang Melayu kerana Umno bersekongkol dengan DAP dan ditambah pula dengan isu ladang babi.

“Namun isu UmDap dan babi jadi isu utama, strategi bodoh dan bangang.

“Permainan politik sentimen sahaja sudah ketingalan zaman kerana anak muda generasi sekarang dan zaman AI (kecerdasan buatan),” kata Ibrahim.

“Isu ini BN untung percuma kerana PN secara tidak disedari membantu pengundi Cina benci PN, manakala undi Melayu Umno akar umbi kekal tidak berubah walaupun berbagai isu yang Umno hadapi.

“Jika lari pun sekitar 20 hingga 30 peratus ini disebabkan cengkaman mainan politik wang dan peranan agensi-agensi kerajaan yang orang Melayu B40 termasuk ibu tunggal, orang tua miskin yang tidak boleh berpisah dengan parti politik yang menguasai kerajaan ketika PRK diadakan,” dakwanya.

Semalam wakil BN Mohamad Yusri menang kerusi negeri itu dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari PN yang mendapat 6,059 undi dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meraih 1,106 undi.

PN sekadar mengatasi pencabarnya BN dan PSM hanya di pusat daerah mengundi (PDM) di Kampung Tanjong Keramat.

Malah, calon kuasa ketiga PSM berjaya mengatasi calon PN di tiga PDM iaitu Banir Utara, Kampung Coldstream dan Ayer Kuning Selatan.

Sementara itu, Ibrahim berkata memang sejak dari awal lagi semua pihak menduga gabungan BN-PH akan memenangi kerusi DUN Ayer Kuning berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.

Menurut Ibrahim lagi, PN sepatutnya menguna isu kos sara hidup sebagai isu utama dan isu ini memang tulen.

“Harga barang-barang naik, isu beras tempatan hilang dan Kerajaan Madani lebih retorik, pembohong dan gagal tunai janji sejak tertubuhnya kerajaan Perpaduan Madani yang indah khabar dari rupa.

“Jika PN bawa isu ini sebagai isu utama ia juga dilihat membela semua kaum kerana semua kaum terlibat dengan kos sara hidup,” jelas bekas ahli parlimen Pasir Mas itu lagi.



Sumber | Malaysiakini 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK Ayer Kuning: BN menang 19 PDM, PN cuma satu - Fahmi



Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan bahawa formula Kerajaan Madani berjaya menambat dan memenangi hati rakyat.

Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata jumlah majoriti dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir juga meningkat, sementara undi yang diterima oleh lawannya dari Perikatan Nasional (PN), merosot.

"Daripada 20 pusat daerah mengundi, sebanyak 19 telah dimenangi oleh Kerajaan Madani. Ini satu petanda positif, namun kita tidak boleh leka... banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Nadi Sim Sim, di Sandakan hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Papat Datuk Frankie Poon, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam pada itu, beliau berkata kaedah kempen sihat yang digunakan menjadi faktor pengundi di Ayer Kuning memilih Kerajaan Madani dan menolak pihak lawan yang memilih topik yang tidak relevan dengan penduduk setempat.

Fahmi berkata rakyat juga menolak kempen yang bersifat perkauman yang memecahbelahkan.

"Kita lihat, senang cakap, ini adalah penolakan terhadap politik berbaur perkauman. Rakyat Malaysia akan menolak perkara seperti ini, khususnya di Ayer Kuning. Mereka tidak boleh menerima dan mereka memilih perpaduan, serta menentang perpecahan," katanya.

Mohamad Yusri, yang juga merupakan Setiausaha Umno Bahagian Tapah, memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan tersebut mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN yang telah dikuasai parti itu sejak 1986.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas

- Bernama









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Peguam bimbang status Islam agama Persekutuan sekadar frasa



KUALA LUMPUR — Malaysia tidak pernah meminda Perlembagaan berkaitan peruntukan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun ketika ini adakah agama Islam di negara ini semakin dimartabatkan atau sebaliknya.

Berikut antara persoalan yang diajukan peguam, Mohd Faizi Che Abu ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agong UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan sekalipun DAP mempunyai 148 kerusi, ia tidak memungkinkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera dipinda.

Jelas Faizi, walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perlembagaan namun ia kelihatan sekadar frasa iaitu ungkapan tanpa makna apabila penguatkuasaan, implementasi dan realitinya dilihat semakin tiada.

“Jadi di mana izzah kebesaran perkara yang mengatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan? Masih ada lagi (dalam Perlembagaan), tetapi penguatkuasaan itu sekarang sudah rasa macam ia hanyalah sekadar wording yang tidak membawa makna. 

“Walaupun ada selepas ini, hak orang Melayu kat situ…. Majlis Raja-raja ada, tetapi kita risau ia akan menjadi seperti mana frasa Islam adalah agama rasmi persekutuan sekadar frasa di sana. 

“Tetapi penguatkuasaannya? Implementasi dan realitinya kosong,” kata Mohd Faizi kepada The Merdeka Times ketika ditemui di Studio Terengganu Strategic & Integrity Institute KL di sini selepas menjadi panel program Bicara Parlimen.

Tambah beliau, sebelum ini masyarakat Muslim bebas untuk berbicara mengenai agama mahupun hukum-hakam agama Islam tanpa dilabel dengan pelbagai gelaran negatif, namun hari ini saat  berbicara isu berkaitan hukum Islam akan digelar ekstremis.

Pada 23 April lalu, Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa sebarang pindaan Perlembagaan membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, Bumiputera – iaitu Perkara 3 dan 153 tidak akan berlaku jika tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, itu adalah perkara asas perlu difahami supaya segala fitnah dan tohmahan menyatakan seolah-olah UMNO hari ini akan menjual negara, perjuangan Islam dan bangsanya kepada orang lain (dihentikan).

Mengulas lanjut, Faizi berkata kita mungkin mempunyai ramai Ahli Parlimen Melayu-Islam, tetapi sekiranya kelompok itu tidak bersatu, kita tidak akan ke mana-mana.

“Kalau pun Perlembagaan berkenaan hak orang Melayu dan agama Islam itu tidak boleh dipinda, tetapi penguatkuasaan dia akan menjadi lemah… Bila menjadi lemah, automatik ia akan menyebabkan semakin terhakis,” katanya. — The Merdeka Times






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bersuara demi Melayu Singapura, bukan ganggu




Saya mengambil maklum tindakan pihak berkuasa Singapura yang menyekat hantaran media sosial saya dan beberapa rakan lain, atas dakwaan cubaan mempengaruhi perjalanan pilihan raya mereka.


Pertama, saya ingin menegaskan bahawa saya menghormati sepenuhnya kedaulatan dan undang-undang negara Singapura. Saya tidak pernah berniat, secara langsung atau tidak, untuk mengganggu proses demokrasi di negara tersebut.

Kedua, seruan dan keprihatinan saya bukan bertujuan mencampuri urusan pilihan raya, tetapi adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral saya sebagai seorang Muslim dan sebagai insan yang prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di Singapura yang semakin terhimpit dalam pelbagai sudut, sama ada dari segi pendidikan, ekonomi, atau kebebasan berbudaya.

Ketiga, hak membela keadilan, maruah dan masa depan sesuatu bangsa bukanlah satu bentuk “campur tangan asing” apabila ia dilakukan dengan adab, prinsip, dan cinta kepada kemanusiaan, tanpa paksaan atau hasutan kepada mana-mana parti politik di luar negara.

Saya ingin menegaskan bahawa:

  1. Orang Melayu Singapura berhak mendapat ruang yang adil dan saksama dalam semua bidang kehidupan sebagai warganegara penuh.
  2. Mengangkat suara terhadap ketidakadilan bukan satu jenayah, tetapi satu tuntutan akhlak dan agama.
  3. Membela identiti Melayu-Islam bukan bermaksud mengancam keamanan, tetapi meneguhkan keadilan sosial yang sebenar.

Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa segala perubahan mesti berlaku melalui jalan yang aman, menghormati undang-undang, dan mengangkat martabat semua pihak.

Saya mengajak seluruh masyarakat Melayu Singapura untuk terus berjuang secara berhemah dan bijaksana. Memperkukuhkan pendidikan, memperkasakan ekonomi, memperteguhkan budaya, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara mereka sendiri.

Akhir sekali, saya memohon agar semua pihak melihat seruan ini dalam kerangka kasih sayang kepada bangsa dan kemanusiaan, bukan dengan lensa syak wasangka politik yang sempit.

Mohamed Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

SPR perlu tingkatkan peratusan keluar mengundi




PORT DICKSON
: PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) agar ia mencerminkan sokongan sebenar rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peratusan keluar mengundi yang rendah, seperti dicatatkan pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 48 Ayer Kuning semalam iaitu sekitar 58 peratus, tidak menggambarkan realiti sebenar kehendak pengundi.

“Kita tahu setiap kali PRK, peratus keluar mengundi sangat rendah. Ini sepatutnya menjadi perhatian SPR supaya kehendak sebenar rakyat dapat diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Pusat di Dewan The Grand, Lukut di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Ayer Kuning merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun jentera Perikatan Nasional (PN) turun habis-habisan untuk mengukur tahap sokongan rakyat.

“Walaupun peratus keluar mengundi hanya 58 peratus, kita bersyukur kerana masih mampu bertahan dengan sokongan terhadap PN seperti sebelum ini. Biasanya, dalam PRK, sokongan akan lebih merosot kerana pelbagai jentera kerajaan turut sama berkempen, namun alhamdulillah kita tetap kukuh,” katanya.

Beliau memaklumkan PN akan melakukan post-mortem selepas PRK ini untuk meneliti beberapa daerah mengundi (PDM) yang menunjukkan kemerosotan undi serta mengenal pasti faktor penyumbang kepada keputusan tersebut.

“Menariknya, kita lihat penyertaan jentera bukan Melayu khususnya masyarakat India dan Cina lebih baik kali ini, walaupun mungkin belum diterjemahkan kepada jumlah undi. Dari sudut gerak kerja, perkembangan ini amat positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan PRK DUN Ayer Kuning mungkin menjadi pilihan raya kecil terakhir sebelum tumpuan beralih kepada Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka diadakan tahun ini.

“Insya-Allah, PN akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2025






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo