NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Majoriti susut’ di Ayer Kuning amaran pada BN - Pemuda PAS



Majoriti yang semakin menyusut dalam pilihan raya kecil Ayer Kuning merupakan amaran tegas kepada Barisan Nasional (BN) bahawa keyakinan awam terhadap mereka semakin terhakis, kata Pemuda PAS.

Walaupun Ayer Kuning sudah lama menjadi kubu kuat BN, pengurangan margin tersebut petunjuk awal perubahan arus politik yang perlu diambil serius, kata Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar (gambar bawah).

Sukri berkata keputusan tersebut mencerminkan beberapa realiti penting yang memerlukan perhatian serius, terutamanya oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

"Keyakinan yang dilaungkan oleh Menteri Besar Perak bahawa akan berlaku gelombang besar ‘transfer vote’ sehingga mampu mencapai majoriti 18,000 undi ternyata jauh meleset.

"Hakikatnya, Perikatan Nasional (PN) kekal teguh dengan undi teras sekitar 5,000 hingga 6,000 pengundi, menunjukkan bahawa sokongan akar umbi kepada PN tetap utuh dan tidak terjejas walaupun diasak hebat oleh kekuatan jentera kerajaan,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Wakil BN Mohamad Yusri menang kerusi negeri itu dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari PN yang mendapat 6,059 undi dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia yang meraih 1,106 undi.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, Ishsam meraih 9,088 undi menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi menentang calon PH Mohd Nazri Hashim (6,975 undi), calon PN Farid (6,812 undi), calon PSM (506) dan calon Pejuang Maziah Salim (105 undi).

Gabungan undi BN dan PH - yang membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 - memperoleh 68 peratus undi pada pilihan raya kecil semalam. Ini bermakna gabungan Madani meraih 60.7 peratus dalam pilihan raya kecil ini — penurunan lebih tujuh mata peratus.

Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini juga mencatatkan penurunan sebanyak 15.4 peratus berbanding 73.47 peratus yang direkodkan pada pilihan raya negeri lalu.

Meskipun demikian, Pemuda PAS mendakwa tiada pemindahan undi yang signifikan dari penyokong PH ke BN.

Sebaliknya, Sukri berkata rakyat telah menghantar isyarat penolakan yang jelas terhadap prestasi kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan.

“Lebih ketara, kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina memperlihatkan bahawa pengundi teras PH sendiri tidak bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada BN, satu mesej penolakan yang sangat jelas terhadap kerjasama politik antara dua parti ini,” dakwanya.

Berikutan ini, Sukri menggesa PN untuk terus mengukuhkan peranannya dalam memastikan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Segala isu yang dibangkitkan sepanjang kempen PRK Ayer Kuning — yang banyak dinafikan oleh kerajaan negeri — perlu terus diperjuangkan agar suara rakyat tidak tenggelam di dalam dewan.

"Lebih-lebih lagi dengan dominasi BN dalam kerajaan negeri, harapan rakyat kini bergantung kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dari PN untuk membawa aspirasi dan keperitan sebenar rakyat.

"PAS menegaskan bahawa Perikatan Nasional akan terus istiqamah memperjuangkan hak rakyat, membela nasib semua golongan dan membina keyakinan menuju gelombang perubahan yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang,” katanya.



Sumber | Malaysiakini 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo