BANGI, 11 RAMADAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam agar bangkit bersama-sama mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan.
Baginda meluahkan dukacita apabila masih ada suara-suara sumbang yang meremehkan kesucian agama, mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.
“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di Jerantut, semalam.
Baginda bertitah, umat Islam jangan sesekali berdiam diri apabila agama dihina walaupun sebagai seorang muslim diajar mengikut resmi padi semakin berisi semakin menunduk.
“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan itu ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati.
“Islam tidak pernah mengajar kita tunduk kepada penghinaan dan penindasan.
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam di Pahang, saya menyeru agar setiap muslim memainkan peranan mempertahankan kesucian agama ini dengan hikmah dan kebijaksanaan,” tegas baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa umat Islam seharusnya bersama-sama bertanggungjawab mempertahankan agama suci ini.
“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai.
“Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negegeri, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara.
“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan. Islam bukan sekadar agama tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung, suatu warisan suci yang mesti kita pertahankan,” titah baginda.
Titahnya, selagi mana bernama muslim, umat Islam bertanggungjawab mempertahankan agama suci ini.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment