BANGI, 2 MAC — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula bagi membantu siasatan lanjut.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
“Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas perdana menteri tersebut.
“Susulan siasatan lanjut terhadap empat individu berkenaan, SPRM menjalankan pemeriksaan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ’safe house’,” katanya.
SPRM berkata Ismail Sabri diminta membuat pengisytiharan harta pada Disember tahun lalu dan ia dilakukan pada 10 Februari lepas.
Katanya, Ahli Parlimen Bera itu juga hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu.
“SPRM sedang menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ismail Sabri.
“Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” katanya.
SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut lunas undang-undang yang berkuatkuasa.
Katanya, hampir 10 saksi akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan terhadap bekas perdana menteri itu.
“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment