NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekarang tiru idea Najib Razak, Anwar 'bailout' Sapura




Sindiran berbunyi "saya datang dari masa depan" kini rancak dinaikkan oleh pengguna media sosial selepas apa yang disifatkan sebagai satu lagi "pusingan U" oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang bersetuju memberi suntikan dana kepada syarikat bermasalah Sapura Energy Berhad untuk menyelesaikan beban hutangnya. 

Keputusan itu turut mendapat reaksi seorang penyokong kuat Najib Razak yang berkata ia menunjukkan bekas perdana menteri itu terbukti benar ketika berhujah mempertahankan cadangan itu dalam debat pada 2022 bersama Anwar, yang ketika itu ketua pembangkang.

Bagaimanapun, Eric See-To berkata langkah kerajaan melabur RM1.1 bilion menerusi sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan dalam Sapura sudah terlambat dan sepatutnya dilaksanakan tiga tahun lalu.

"Seperti yang Najib tegaskan dalam debat, Sapura masih mampu mencatat keuntungan dan memperoleh projek baharu walaupun dibebani hutang tinggi dalam tempoh tiga tahun ini.

"Ini kerana permintaan dalam sektor minyak dan gas kekal kukuh, dan Sapura memiliki aset yang sangat sukar diperoleh di peringkat global.  

"Namun, semuanya sudah terlambat. Prestasi Sapura tidak dapat berkembang lebih baik kerana kekangan hutang yang tinggi," kata Eric yang menulis di laman Facebook menggunakan nama pena Lim Sian See.

Pada Mei 2022, Anwar dan Najib berdebat secara langsung mengenai topik "bailout" kepada Sapura, langkah yang ketika itu ditentang keras pemimpin Pakatan Harapan itu.

Anwar dalam debat tersebut berkata sebarang keputusan menyelamatkan Sapura hanya boleh dilakukan selepas laporan audit forensik.

Tidak dapat dipastikan sama ada audit forensik telah dilakukan terhadap Sapura.

Sejak 2019, Sapura mencatatkan kerugian tahunan, dan menanggung liabiliti semasa RM14.5 bilion, berbanding aset semasa RM2.2 bilion.

Selewat-lewat Jun tahun lalu, firma audit Ernst & Young dalam ulasannya berkata masih terdapat kebimbangan mengenai keupayaan Sapura untuk terus beroperasi.

Eric, antara yang terlibat dalam komunikasi strategik Barisan Nasional, berkata Sapura boleh menjadi salah satu syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar di dunia jika Najib masih perdana menteri.

"Mereka juga tidak perlu menjual telaga-telaga minyak mereka, sekali gus memberikan manfaat dan pulangan besar kepada pemegang saham utama mereka, iaitu PNB dan negara sebab mendapat kembali satu syarikat bertaraf dunia," katanya, merujuk Permodalan Nasional Berhad.

Antara pengkritik utama cadangan menyelamatkan Sapura ialah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang kini menteri ekonomi.

Rafizi dalam hantaran pada 2022 berkata wang kerajaan untuk menyelamatkan Sapura sepatutnya digunakan membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak muda dan memberi pinjaman pendidikan.

Sebaliknya, Rafizi berkata cadangan Najib menyelamatkan Sapura hanya membela golongan elit, "sedangkan semasa golongan elit ini bermewah (hasil dari pembiayaan wang rakyat) mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat".

"Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik)," tulis Rafizi dalam hantarannya.

Hantaran itu dikongsi kembali oleh pengguna media sosial yang rata-rata menyindir keputusan menyelamatkan Sapura itu sebagai "pusingan U terkini" oleh Anwar.

"Saya datang dari masa depan. Hari ini Madani pakai idea Najib ini untuk selamatkan Sapura," kata seorang pengguna Facebook, antara puluhan yang menaikkan sindiran serupa.


Sumber | MalaysiaNow 












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo