IPOH - Pemuda Pas Kampar mendesak Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan susulan kontroversi penjualan dan pembelian semula saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Naib Ketua Pemudanya, Abdul Hadi Azman berkata, kegagalan Zhemin untuk berbuat demikian hanya mencemarkan integriti institusi Parlimen dan prinsip demokrasi.
Menurutnya, pemimpin DAP itu tiada pilihan selain menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan kerana perkara itu jelas dinyatakan di Parlimen.
“Keengganan beliau untuk berbuat demikian bukan sahaja mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab, malah membuktikan bahawa DAP adalah parti yang mencemarkan kredibiliti kerajaan Madani serta memperlekehkan institusi Parlimen dan sistem demokrasi negara.
"Sikap Zhemin dalam isu ini turut menyerlahkan hipokrasi DAP yang sering melaungkan ketelusan, tetapi gagal menunaikan janji sendiri apabila terpalit dengan isu integriti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Abdul Hadi yang juga Penyelaras Parlimen Pas Kampar mendesak Zhemin agar segera berundur dan tidak memalukan pengundi Parlimen Kampar.
Katanya, isu itu timbul apabila KWSP menjual sebahagian sahamnya dalam MAHB antara November 2022 hingga Disember 2023 pada harga RM6.80 hingga RM7.70 sesaham, sebelum konsortium yang turut disertainya membuat tawaran membeli semula saham tersebut pada harga RM11 sesaham.
Jelasnya, Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sebelum ini mempersoalkan tindakan KWSP menjual saham pada harga rendah dan kemudian membeli semula pada harga lebih tinggi.
Dalam sesi perbahasan di Parlimen, Zhemin mempertahankan tindakan KWSP dan mencabar Ka Siong membuktikan bahawa KWSP mengalami kerugian malah dengan yakin berjanji akan meletakkan jawatan jika terbukti wujud kerugian walau satu sen sekalipun.
Bagaimanapun, pada 6 Mac lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan bahawa Ka Siong tidak mengelirukan Dewan dan tiada pelanggaran peraturan mesyuarat dalam membangkitkan isu ini.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment