SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan santan yang mencukupi dan harga tidak melonjak tinggi menjelang Aidilfitri ini.
Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hasan berkata, harga santan yang semakin mahal berpunca daripada kenaikan harga kelapa import sejak Oktober tahun lalu yang secara tidak langsung menjejaskan peniaga dan pengguna.
“Bulan ini sahaja permintaan santan meningkat bagi keperluan peniaga di bazar (Ramadan) dan juga pengusaha restoran yang menyediakan juadah berbuka.
“Harga makanan berasaskan santan terpaksa dinaikkan untuk menampung kos. Permintaan santan sudah pasti akan lebih tinggi untuk persiapan rakyat menyambut Aidilfitri nanti.
"Boleh dikatakan hampir setiap rumah wajib membeli bekalan santan untuk juadah raya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kekurangan bekalan dan kenaikan harga kelapa yang diimport dari Indonesia adalah faktor kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu.
Selain itu, menurutnya, trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua juga menjadi faktor kenaikan harga santan segar.
Dalam pada itu, Wan Hasrina membidas kenyataan Mohamad dengan mendakwa kelapa muda dan tua berkenaan merupakan keperluan rakyat.
"Mohamad mendakwa petani tempatan lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding tua kerana harganya yang lebih tinggi menjadi faktor bekalan kelapa santan berkurangan.
"Menteri tidak sepatutnya berat sebelah menyalahkan petani. Kedua-dua kelapa muda dan tua adalah keperluan dan sumber pendapatan kepada rakyat.
"Masalah ini sudah pun berlanjutan beberapa bulan," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment