Pergelutan dan perebutan jawatan menjelang pemilihan parti seakan sesuatu yang lumrah buat beberapa parti politik tertentu khasnya yang berada dalam Kerajaan Persekutuan. PKR dan DAP tidak terkecuali dan terus mendapat liputan media arus perdana. Ternyata hambatan jawatan dan kuasa menjadi agenda utama.
PAS yang walaupun sedang melalui proses pemilihan di peringkat cawangan masuk bulan Ramadan ini dikuti pemilihan diperingkat kawasan-kawasan selepas Raya menjelang Muktamar pemilihan bulan September nanti kelihatan tenang dan tidak banyak bunyi seperti yang lain.
Kerana itu banyak pihak yang cemburu lalu direka-reka berita kononnya PAS juga bakal menyakiskan persaingan sengit untuk pucuk pimpinannya tahun ini. Mereka seakan lupa bahawa PAS kini berada dalam kedudukan paling kukuh, sebagai parti blok terbesar di Parlimen dan menguasai 4 buah negeri Melayu lantaran gandingan Tan Sri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Ustaz Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden dan Timbalan presiden parti.
Melalui pasukan regu berdua ini, PAS berupaya beralih dari sebuah parti “regional” atau tertumpu di kawasan tertentu, lazimnya di Pantai Timur, menjadi parti nasional yang meluas pengaruhnya keseluruh bumi Semenanjung termasuk Sabah hari ini.
Kedua-dua gandingan ulamak ini telah mengurus parti dengan tekun dan cemerlang, sehingga ahli-ahli PAS berjaya dibentuk dan diangkat sebagai ahli-ahli paling taat dan berdisiplin. Melalui kesungguhan dan komitemen penuh di bawah kedua mereka PAS kini telah menggantikan Umno sebagai suara umat Melayu Islam apabila ia terbit sebagai parti Melayu Islam paling berpengaruh pasca PRU 15 hasil pengorbanan besar ahli dan penyokonnya.
Rakyat melihat PAS bukan lagi parti eksklusif untuk kelompok tertentu sebagaimana ditohmah sebelum ini, PAS bukan parti ekstrimis sebagaimana didakwa DAP, tetapi PAS berjaya menzahirkan imej yang inklusif, mesra semua dan berpegang teguh pada budaya politik matang serta sejahtera. Tokoh yang dipecat Umno, tetapi mampu menyumbang pada perjuangan PAS telah diangkat menjadi ahli Jawatankuasa Pusat contohnya Tan Sri Anuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kasim. Keterbukaan PAS, sukar dicontohi parti-parti lain dalam hal ini.
Malah PAS sudah mula bukan sahaja menerima ahli-ahli yang bukan Islam tetapi turut memberikan mereka peranan sehingga boleh bersama dalam perjuangan. PAS pernah melantik seorang Hindu menjadi wakilnya di Dewan Negara iaitu N. Balasubramaniam, Pengersui Dewan Himpuna Pendukung PAS selama satu penggal pada tahun 2020. Dan kini hampir semua Menteri Besar PAS punya Pegawai Khas bukan Melayu di pejabat masing-masing.
Adalah diyakini dengan perkembangan politik semasa dan kemampuan PAS menonjolkan dirinya sebagai parti yang paling bersih dan berwibawa dalam memperjuangkan nasib dan masadepan rakyat, PAS bakal memperolehi pencapaian yang lebih besar justeru tidak ada sebab untuk ahli-ahlinya berbalah dan bersengketa menuntut perubahan pucuk pimpinan sebagaimana DAP dan PKR.
Rakyat Malaysia sudah semakin kenal PAS di bawah regu Presiden dan Timbalannya ini yang telah mampu menyusun barisan kepimpinan pelbagai yang profesional dan ulamak untuk menggalas tannggungjawab memimpin negara dan negeri dengan penuh integriti dan bermoral. Biarlah yang lain berkerat rotan dan berpatah arang berebut jawatan kerana laparkan kuasa dan kedudukan, PAS biar tenang dan terus maju demi bangsa, agama dan negara.
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment