PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan tidak akan bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei ini kerana mahu memberi ruang kepada pemimpin muda untuk menerajui parti.
Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor pada tahun 2014 hingga 2019 itu berkata, keputusan tersebut meliputi semua peringkat, termasuk jawatan di cabang dan kepimpinan tertinggi.
Dalam pada itu, Hassan yakin pemilihan kali ini tidak akan menjejaskan perpaduan dalam parti, malah membuktikan PKR sentiasa bersedia berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya sudah berkhidmat dan kini masa saya sudah berlalu. Saya mahu generasi muda mengambil alih kepimpinan parti.
“Saya juga tidak bertanding atas faktor usia kerana kini berumur 74 tahun. Saya menyeru pemimpin veteran lain supaya memberi laluan kepada pelapis baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau masalah sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya, di sini pada Sabtu.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan berlangsung pada 24 Mei.
Sementara itu, pemilihan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan Cabang akan diadakan dari 11 hingga 20 April.
Dalam perkembangan lain, Hassan melahirkan kebimbangan terhadap masalah lambakan sampah dan longkang tersumbat di Bandar Permas Jaya, yang berpunca daripada sikap penduduk serta peniaga yang tidak mengurus sisa buangan dengan baik.
“Terdapat peniaga restoran dan kedai makan yang tidak menyelenggara penapis minyak, menyebabkan sisa minyak kotor mengalir ke longkang.
“Pada masa sama, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak menjalankan kerja penyelenggaraan mengikut jadual, manakala syarikat konsesi pula gagal mengurus kutipan sampah dengan baik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa masalah ini bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah turut mengundang bau busuk serta menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Justeru, Hassan akan membawa isu tersebut kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, selain mengusulkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Johor Bahru bagi mencari penyelesaian segera.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment