BERUAS - Rakan-rakan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan polemik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, kenyataan yang mencetuskan kontroversi memberi ruang kepada pihak lawan untuk menyerang kerajaan.
Menurutnya, perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dibangkitkan sehingga tercetus polemik dan menjadi pertikaian.
"Jadi, saya nasihatkan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan supaya lebih berhati-hati. Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, bincang dalam Kabinet, bukan di luar.
"Jika tidak, pihak lawan akan mengambil kesempatan untuk memburukkan kita," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR di Dewan Inderawati di sini pada Sabtu.
Azhar yang juga Ahli Dewan Negara itu turut mengingatkan bahawa UMNO tidak mahu Kerajaan Perpaduan berdepan dengan serangan tidak perlu hanya kerana kenyataan boleh dielakkan.
"Kita mahu mengekalkan kerajaan ini dengan kasih sayang, bukan dengan menimbulkan isu sensitif.
"Tidak perlu mana-mana pihak dalam Kerajaan Perpaduan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan Perlembagaan," katanya.
Sementara itu, Azhar berkata, UMNO Bahagian Beruas bersedia untuk turun ke kawasan DUN Ayer Kuning bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK bakal diadakan.
Menurutnya, jentera parti termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan berkampung di kawasan DUN berkenaan sepanjang tempoh berkempen sebaik sahaja menerima arahan daripada kepimpinan negeri dan pusat.
"Kami sudah berpengalaman turun berkempen pada PRK di Kelantan, Johor, dan Melaka.
"Kita tidak kisah siapa lawan kita. Yang penting kita menang dan pastikan BN kekal di Ayer Kuning," ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment