NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar bergantung sokongan bukan Melayu, tidak mendapat sokongan Orang Melayu




BANGI, 8 RAMADAN — Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menggesa semua pihak berlapang dada jika Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam perjuangan politik Melayu. 

 

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata masih terlalu awal menolak penglibatan Presiden PKR itu yang sangat memerlukan sokongan pengundi Melayu. 

 

“Saya secara peribadi menyokong Muafakat Nasional kerana kepentingan perpaduan Melayu untuk membantu rakyat Malaysia. Dalam politik ini macam-macam boleh jadi. 

 

“Orang kata bila kita bertanding pilihan raya mungkin tidak bersama Perdana Menteri. Kita tidak tahu masa depan. Mungkin masih bersama lagi. 

 

“Janganlah kita menjadi tok nujum. Sampai satu masa kita tidak tahu, mungkin PAS dan BERSATU kuat,” katanya dalam wawancara bersama TV Pertiwi. 

 

Beliau berkata Anwar memerlukan sokongan kuat pengundi Melayu dalam memastikan kestabilan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

 

Katanya, sokongan kuat pengundi Melayu terhadap Anwar tidak akan menghakis hak bukan Melayu yang saling melengkapi pembangunan negara bangsa. 

 

“Perdana Menteri perlu sokongan Melayu untuk menunjukkan ada kekuatan. Hari ini beliau bergantung kepada ahli parlimen bukan Melayu. Jadi tidak boleh kata dapat sokongan Melayu.

 

“Hendak dapat sokongan orang Melayu pun bukan kerana hendak aniaya bangsa lain. Tetapi untuk mengukuhkan kerajaan yang ada sekarang. 

 

“Tanpa sokongan majoriti orang Melayu susah kita,” katanya yang turut menyeru penyatuan orang Melayu bagi menghadapi PRU16.

 

Nazri berkata Anwar perlu diberi peluang memimpin negara pada penggal pertama ini dalam menyelesaikan masalah kerajaan terdahulu. 

 

Katanya, Anwar seorang Perdana Menteri yang berani apabila sanggup melaksanakan rasionalisasi subsidi walau berdepan risiko kalah pilihan raya.  

 

“Janganlah segala masalah yang kita hadapi, kita salahkan Perdana Menteri. Beliau menerima pentadbiran dalam keadaan kerajaan sudah teruk. 

 

“Rasuah yang berlaku, untuk pembayaran balik mengambil masa bergenerasi. Banyak yang kena bayar. Ingat senang, jadi Perdana Menteri sahaja ada tongkat sakti?

 

“Sekarang kita hadapi masalah. Kalau kita teruskan subsidi, kita akan memudaratkan lagi negara kita. Jadi kita kena tarik,” katanya.

 

Bekas duta besar ke Amerika Syarikat itu berkata, atas dasar itu, Anwar dilihat unik berbanding sembilan perdana menteri terdahulu. 

 

Katanya, perdana menteri sebelum ini hanya berani bercakap dan memberi gambaran namun Anwar yang melaksanakan ketika pentadbirannya. 

 

“Saya jadi menteri di bawah tiga perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad hingga Datuk Seri Najib Razak. Dr Mahathir berkata suatu hari nanti tongkat akan ditarik.

 

“Ia bermakna subsidi tetapi mereka tidak ada kelakian untuk mengotakan apa yang dikatakan. Takut. Terus beri subsidi untuk menang pilihan raya. 

 

“Semua perdana menteri bersetuju subsidi tidak akan kekal selamanya dan ia hanya menguntungkan pada jangka masa pendek,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo