PADANG RENGAS - Kerajaan tidak akan melayan gimik politik murahan pembangkang berhubung pilihan raya umum (PRU) mengejut hujung tahun ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, masih banyak perkara perlu diberi tumpuan dalam kerajaan ketika ini terutama hal berkaitan pemulihan ekonomi, kualiti integriti dan keupayaan dalam pentadbiran.
"Kalau Perikatan Nasional terus bercita-cita dengan tebuk atap ini, silakan kerana kita tak ada masa nak layan kelompok yang macam ni.
"Lagipun isu PRU ini bukan baru, sebelum ini kata April kemudian Ogos, lepas puasa dan sebagainya.
"Alhamdulillah, lagi kuat mereka bercakap soal mahu pilihan raya dan tukar kerajaan, lagi kukuh kerajaan Madani yang ada pada hari ini," katanya.
Menurut beliau, PRU mengejut yang dibangkitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tersebut hanya membuktikan PN gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.
Perkara itu katanya bertujuan menimbulkan keresahan dan keraguan kalangan rakyat akan usaha pembangunan dan pentadbiran dilakukan kerajaan.
"Azmin dan PN ini tiada kerja. Jadi, pada setiap masa apabila bangun sahaja tidur, kerja mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan, sabotaj kerajaan," katanya.
Terdahulu, Muhammad Kamil ditemui dalam program Sumbangan Kasih Madani Kembali ke Sekolah 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini pada Ahad.
Dalam program itu, lebih 500 pelajar melibatkan 31 sekolah dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar kawasan Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan berupa barangan kelengkapan sekolah dan wang tunai.
Inisiatif tersebut dari Pejabat Setiausaha Politik Kementerian Kewangan dengan kerjasama daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), Yayasan MyPrihatin, Farm Fresh dan Persatuan Pergerakan Amal Belia (PPAB) Padang Rengas.
Pada Sabtu, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa arahan persiapan jentera parti dikeluarkan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut atau ‘snap election’ pada hujung tahun ini.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azlen Ambros kemudiannya mengulas bahawa kenyataan berkenaan dilihat sebagai satu provokasi menggagalkan segala usaha baik yang sedang dilakukan kerajaan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment