BANGI, 28 SYAABAN — Ahli Parlimen PKR menggesa dua menteri tidak berlengah lagi memburu sindiket dalang campuran beras import dan tempatan yang masih bebas mengaut untung.
Hassan Abdul Karim berkata, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Armizan Mohd Ali perlu bertindak segera bagi mengakhiri sindiket campuran beras import dan tempatan.
“Saya mengesyorkan kepada menteri berkenaan supaya sekarang juga, jangan bertangguh-tangguh untuk bertindak kepada kilang-kilang beras.
“Serta kepada pemborong dan peruncit bertanggungjawab mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import yang dijual dengan harga mahal sebagai beras import.
“Dua menteri yang disebut di atas tidak perlu menunggu Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522) dibawa ke Parlimen untuk dipinda baru hendak bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas pendedahan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
MARDI semalam mendedahkan 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati dicampur dengan beras putih tempatan.
Pegawai Penyelidik Kanannya, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, keputusan itu diperoleh melalui teknologi pencapjarian DNA.
Katanya, analisis dilakukan susulan operasi Jawatankuasa Bersepadu Beras Putih Tempatan bagi mengenal pasti ke mana hilangnya beras putih tempatan.
Hassan berkata Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983 memadai untuk mendakwa dalang terlibat.
Katanya, siasatan dan pendakwaan tidak boleh ditangguhkan lagi selepas kecurangan industri makanan itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.
“Dengan itu, kementerian terlibat perlu menggunakan akta berkenaan untuk menyiasat dan mendakwa kartel yang sudah menipu rakyat Malaysia selama hampir dua tahun ini.
“Ini selepas MARDI menemui analisa forensik yang saintifik berdasarkan DNA bahawa beras putih tempatan dapat dibuktikan berbeza dengan beras putih import,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment