BANGI, 28 SYAABAN — Majlis Ulama UMNO menyelar Dewan Ulama PAS kerana mempersoalkan penggunaan ayat Al-Quran oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan pengerusinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata petikan ayat 183 daripada surah Al-Baqarah oleh Perdana Menteri memberi tafsiran yang tepat.
“Huraian Perdana Menteri terhadap maksud ayat ‘sebagaimana’ sudah menepati apa maksud Al-Quran sebagaimana dihurai oleh para alim ulama Islam.
“Iaitu ‘persamaan’ daripada sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah,” katanya menerusi coretan di Facebook semalam.
Dewan Ulama PAS semalam menyelar tindakan Anwar memberi tafsiran salah terhadap kewajiban berpuasa dalam Al-Quran.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata Perdana Menteri tidak boleh menyamakan ibadah puasa umat Islam dengan penganut agama lain berdasarkan dalil Al-Quran.
Mohd Khairuddin berkata para ulama tafsir sepakat bahawa persamaan puasa dengan umat terdahulu ialah pada persamaan kewajiban berpuasa.
Katanya, ia merujuk pada persamaan konsep puasa iaitu meninggalkan makan dan minum tetapi ulama berbeza pendapat adakah terdapat persamaan pada masa dan cara.
“Dewan Ulama PAS perlu ditegur kerana membuat tafsiran baharu tersendiri yang menyempitkan maksud ‘umat terdahulu berpuasa’ dalam ayat Al-Quran.
“Hal ini kerana ulama ketika menafsirkan ayat di atas sudah menyebut tentang puasa orang Kristian yang direka oleh paderi Kristian dan tentunya bukannya atas dasar ketauhidan.
“Justeru, yang disepakati oleh ulama pada ‘persamaan’ dengan umat terdahulu ialah pada hukum kewajiban dan pada konsep berpuasa iaitu meninggalkan makan minum,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Khairuddin menggesa Dewan Ulama PAS tidak mencari titik perbezaan dengan Perdana Menteri atas dasar perbezaan parti dan pegangan politik.
Katanya, titik persamaan wajar diangkat untuk digerakkan bagi memperkasakan lagi Islam dalam negara.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment