KUALA LUMPUR, 13 Februari – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, menyelar cadangan Ahli Parlimen Raub untuk mewujudkan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta berpotensi mencetuskan polemik dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, sementara kebebasan beragama bagi penganut agama lain dijamin di bawah Perkara 11. Namun, beliau berpendapat bahawa jaminan ini tidak boleh disalahgunakan untuk mencabar kedudukan Islam atau menuntut sesuatu yang di luar kerangka perlembagaan.
Datuk Ahmad Amzad turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai fenomena “kaduk naik junjung,” di mana pihak tertentu mengambil kesempatan daripada ruang kebebasan agama untuk membuat tuntutan yang tidak wajar.
“Kita sudah ada Kementerian Perpaduan serta pelbagai jawatankuasa yang berperanan menjaga keharmonian kaum dan agama. Maka, cadangan untuk menambah seorang Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam adalah tidak perlu dan hanya membazir,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau menyeru agar semua Ahli Parlimen lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan cadangan yang melibatkan sensitiviti agama dan perpaduan negara, agar prinsip yang menyatupadukan rakyat Malaysia terus terpelihara.- 1Media.my
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment