BANGI, Khamis – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menyifatkan gesaan supaya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan sebagai ‘keterlaluan’ dan ‘tidak produktif’.
Pengerusinya, Hazry Saimin berkata, kenyataan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP itu seolah-olah menghalang rakyat daripada bersuara berhubung kegagalan King Sing menerajui kementerian itu.
Hazry berkata, GPS serta ramai rakyat Malaysia sebelum ini sudah memberikan maklum balas dan teguran terhadap kelemahan dan keculasan King Sing sejak beliau memegang portfolionya.
“Kegagalan demi kegagalan King Sing menunjukkan prestasinya sangat buruk dan semakin merosot.
“Justeru, beliau (King Sing) tidak harus diberikan masa yang lebih lama lagi kerana ia bakal mengundang kerugian lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, King Sing dikritik ramai ekoran kenyataan yang dibuat susulan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pemilik premis yang menaikkan papan tanda tidak berlesen serta tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
Tidak lama selepas itu, King Sing sekali lagi menarik perhatian ramai apabila menyatakan China berhasrat memilih Malaysia sebagai tuan rumah untuk sambutan Tahun Baru Cina.
Berhubung dakwaan mengapi-apikan sentimen perkauman, GPS turut mencadangkan supaya Syerleena melihat laman rasmi King Sing dan menilai siapa sebenarnya yang memainkan isu agama, bangsa, raja (3R).
“Syerleena perlu lihat bagaimana King Sing meluangkan masanya membuat video-video kenyataan yang mengapi-apikan sentimen perkauman.
“King Sing begitu mudah melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengannya sebagai ekstremis. Adakah itu dikatakan sebagai produktif?” soal Hazry.
Tambah beliau, pelancaran petisyen terhadap King Sing itu adalah desakan yang mempunyai pelbagai sebab kukuh.
Beliau turut berharap desakan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau dapat menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan jawatan menteri yang disandang King Sing menurut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan atau menasihati menteri itu meletakkan jawatannya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment