NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN bukan pencabar utama PRN Sabah, Oh Ei Sun anggap manifesto MA63 tiada keistimewaan




PETALING JAYA
Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin menjadi pesaing utama dalam PRN Sabah akan datang dan dijangka tidak akan berjaya melainkan ia mengadakan pakatan dengan parti lain, kata Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah.

Walaupun pesaing terdekatnya — Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional — masih belum memuktamadkan pakatan mereka, PN kelihatan bersedia untuk menentang gabungan besar pada PRN itu, tambahnya.

Beliau berkata kemungkinan besar bekas menteri dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee akan menjadi ‘poster boy’ untuk PN pada pilihan raya itu.

Bagaimanapun katanya, Kiandee, naib presiden Bersatu, akan bergelut untuk menarik pengundi kerana beliau tidak menonjol dalam PN dan parti.

“Selain Kiandee, tidak ada tokoh dalam Bersatu atau PAS yang mampu menyaingi populariti pemimpin dalam GRS khususnya dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang kebanyakannya dahulunya daripada Bersatu dan Umno.

“PN harus berusaha untuk membentuk pakatan dengan parti tempatan untuk mendapatkan sokongan yang lebih kuat, daripada bertanding solo,” katanya kepada FMT.

Kurang relevan

Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura meragui keupayaan PN untuk menjalin sebarang pakatan politik yang bermakna. Beliau berkata nampaknya tidak ada sebarang cadangan daripada parti lain untuk ‘meminang’ PN Sabah sebagai sekutu pilihan raya.

Oh berkata PN bergelut untuk kekal relevan di Sabah, terutamanya susulan penghijrahan pemimpin Bersatu Sabah yang diketuai oleh ketua menteri semasa Hajiji Noor sejurus selepas PRU 2022.

“Memandangkan Bersatu tidak menerajui kerajaan persekutuan mahupun negeri, ia tidak berada dalam kedudukan untuk memberi sumbangan. Kejatuhannya mungkin disebabkan PAS yang mengetuai gabungan lemah itu.

“Ia masih harus dilihat sejauh mana kedudukan politik agama PAS boleh menembusi Sabah, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung Bersatu Ahad lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata kepimpinan tertinggi gabungan itu akan membincangkan calon ketua menterinya dalam masa terdekat dan sama ada akan bertanding solo atau mengadakan pakatan dengan parti lain untuk PRN.

Bekas perdana menteri itu juga berjanji untuk memperjuangkan setiap tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan mengatakan ia akan menjadi teras manifesto PN.

Manifesto berpaksikan MA63 tiada yang istimewa

Bilcher, bagaimanapun, menyifatkan janji Muhyiddin itu sebagai tidak munasabah, dengan berkata MA63 dijangka menjadi modal kempen setiap parti.

“MA63 akan menjadi teras kepada manifesto setiap parti kerana ia adalah punca di sebalik kepesatan pembangunan Sabah.”

Oh bersetuju, dengan berkata MA63 adalah janji pilihan raya yang mudah dan popular untuk parti yang bertanding berbanding ‘janji yang lebih sukar’ iaitu melaksanakan penambahbaikan infrastruktur di Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata agak pelik bagi PN, sebuah gabungan yang kebanyakannya terdiri daripada parti-parti yang berpangkalan di Malaysia Barat, untuk memperjuangkan MA63 bagi rakyat Sabah.

Bilcher juga berkata PN harus mempertimbangkan untuk menamakan calon yang lebih muda bersama ahli politik veteran bagi menarik undi belia.



Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo