Seorang aktivis berketurunan India mengumumkan mogok lapar di depan bangunan Parlimen mulai Selasa akan datang bagi membantah kemasukan syarikat milik firma kontroversi BlackRock sebagai rakan kongsi konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia.
M Mythreyar, 46, berkata tindakan itu ialah jalan terakhir selepas pihak berkuasa membuat intimidasi terhadap beberapa aktivis pro-Palestin lain.
"Kita bersuara, kita dihalang. Parlimen kita sedang berjalan, saya fikir kalau hendak masuk dalam (Parlimen) mesti tak boleh. Jadi ini peluang terakhir saya untuk buat sesuatu yang memberi impak," katanya kepada MalaysiaNow.
Mythreyar merancang mengadakan mogok lapar selama dua hari.
"Ia bergantung kepada ketahanan badan saya. Hari ketiga mungkin saya akan terlalu letih.
"Ada kawan saya yang kata hendak datang tapi belum disahkan. Di sana, saya akan cari tempat duduk yang boleh bersandar untuk membuat mogok," tambahnya.
Sebelum ini, polis memanggil beberapa orang terlibat dalam tunjuk perasaan membantah keganasan Israel.
Tiga aktivis daripada pergerakan Gegar Amerika turut disoal siasat selepas mengadakan protes solidariti Palestin ketika majlis sambutan hari kemerdekaan Amerika Syarikat dianjurkan oleh kedutaan negara itu bulan lepas.
Mythreyar berkata tindakannya bukan untuk menentang kerajaan, sebaliknya rayuan kepada Putrajaya untuk membatalkan rancangannya menjual kepentingan syarikat kerajaan kepada syarikat asing yang berdepan tuduhan genosid.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkali-kali mempertahankan rancangan itu, yang akan menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings (MAHB), bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui beliau sendiri.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment