NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Johari tidak hormat Parlimen, buat keputusan demi kepentingan politik kepartian - Hassan Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyifatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berdasarkan kepentingan politik kepartian


PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat kerajaan mengkritik keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata keputusan speaker berlawanan aspirasi rakyat untuk menghentikan amalan lompat parti, ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ menerusi akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sebelum ini.

“Amat malang dan sedih kerana keputusan speaker tidak didukung oleh hujah yang mantap. Saya melihat speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” kata wakil rakyat PKR kepada FMT.

Terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan speaker tidak mengosongkan kerusi terbabit, menyifatkan tindakan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan antilompat parti bersifat dangkal, songsang, serta harus dicela.

Menerusi surat pemberitahuan, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Penyandang kerusi terbabit adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Hassan berkata, Bersatu sudah meminda perlembagaan parti untuk menyelaraskannya dengan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan iaitu akta antilompat parti, tetapi speaker tidak menghormati Parlimen yang menjadi tempat ia digubal dan diluluskan.

“Tindakan Johari mengekalkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu berpaling tadah juga bercanggah niat Parlimen yang meminda Perlembagaan demi mewujudkan apa dikenali sebagai akta antilompat parti.

“Johari gagal mengambil maklum keputusan mahkamah sebelum ini menolak semakan kehakiman dibuat bekas Adun Nenggiri (Azizi) untuk mengetepikan keputusan speaker DUN Kelantan yang mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas wakil rakyat Bersatu berpaling tadah,” dakwanya.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo