NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu tarik subsidi diesel, tidak beri kesan sokongan Melayu kepada PH

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata peratusan undi orang Melayu menyokong PN pada PRK Sungai Bakap tidak meningkat jika dibandingkan PRN tahun lalu.


KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menolak dakwaan isu berkait penyasaran subsidi diesel menjadi punca utama kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sungai Bakap minggu lalu.

Timbalan presiden PKR berkata, isu itu tidak memberi kesan besar terhadap sokongan orang Melayu kerana peratusan undi komuniti tersebut yang menyokong calon Perikatan Nasional (PN) di Sungai Bakap tidak meningkat berbanding PRN tahun lalu.

“Kalau dilihat tahap sokongan pengundi Melayu, kalau betul soal diesel semua itu ada kesan besar kepada undian, jadi kamu akan jangka undi PN akan meningkat, tapi tidak, ia kekal sama.

“Tahun lalu (PRN 2023) sebelum ada penyasaran subsidi diesel pun macam itu, sekarang pun selepas penyasaran subsidi pun sama macam itu. Saya rasa kena lihat secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media selepas Forum Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura di Hotel Hilton.

Pada PRK Sungai Bakap, calon PN daripada PAS Abidin Ismail menang dengan 14,489 undi selepas memperoleh majoriti 4,267, menewaskan calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang mendapat 10,222 undi.

Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Ketua PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff menang pada PRN tahun lalu menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Rafizi yang juga menteri ekonomi berkata, secara tradisi peratusan keluar mengundi bukan Melayu pada PRK dan PRN lebih rendah berbanding PRU, menyebabkan masih terlalu awal untuk menyatakan isu diesel punca utama kekalahan.

“Saya rasa kita kena berhubung dengan kumpulan sasaran, pengundi bukan Melayu untuk memahami motivasi mengapa mereka tidak turun mengundi.

“(Jika) ia disebabkan diesel, kita perlukan lebih banyak data, tapi saya kena nyatakan juga, secara tradisinya memang dalam PRK, PRN jumlah mengundi bukan Melayu selalunya lebih rendah,” katanya.

Mengulas keputusan PRK itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, sebelum ini berkata beliau percaya PH kalah kerana isu ekonomi, terutama berkait penyasaran subsidi diesel.

Katanya, penyasaran subsidi diesel tidak popular dalam kalangan rakyat, walaupun dasar itu betul dan bertanggungjawab dari sudut ekonomi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, pula berkata kekalahan itu menunjukkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan mula merosot.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, yang menyumbang kekalahan PH.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo