NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Alasan dangkal cemar antilompat, Bersatu akan cabar keputusan speaker

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada sidang media di Parlimen hari ini.


KUALA LUMPUR: Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang berpaling tadah.

Dalam sidang media di Parlimen, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata tindakan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan antilompat parti bersifat dangkal dan songsang, serta harus dicela.

“Keputusan YB speaker amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan YB speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankannya,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu memutuskan mengambil langkah susulan dengan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu.”

Terdahulu, FMT melaporkan surat pemberitahuan daripada speaker mengenai keputusan tidak berlaku kekosongan kerusi bekas enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim diserahkan kepada Ketua Whip Ronald Kiandee malam tadi menerusi e-mel dan WhatsApp.

Sumber Bersatu memberitahu, antara alasan dikemukakan Johari untuk tidak menunaikan permintaan supaya kerusi terbabit dikosongkan kerana ingin mengekalkan kestabilan dalam Parlimen demi urusan rakyat dan negara.

“Alasan lain termasuk mahu menjaga keutuhan kerajaan Madani,” kata sumber itu.

Penyandang kerusi berkenaan adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 20 Jun lalu, Kiandee yang juga naib presiden Bersatu menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Anwar.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Keputusan tak selari

Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan Johari yang tidak selari keputusan DUN Kelantan yang mengisytiharkan kekosongan Nenggiri diwakili Azizi.

“Patutnya kalau dah begitu ‘duluannya’ tak bezalah dengan yang lain-lain…kenapa pula di Parlimen begitu? (tak kosong kerusi). Itu persoalan penting yang perlu dijawab speaker,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

“Bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif. Pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.

“Keputusan YB speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyeru YB speaker menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan yang bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya,” katanya.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo