NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakyat Terus Kecewa, Anwar Umpama Senduk Besar Tak Mengenyang

RAKYAT TERUS KECEWA
Oleh: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

“Senduk besar tak mengenyang”

Itulah peribahasa yang menggambarkan sikap pemimpin Kerajaan Malaysia ketika ini. Menurut kamus Dewan Bahasa, ia membawa maksud sikap seseorang yang banyak janji tetapi tidak ditepati. Sikap inilah yang sedang dipersembahkan oleh Perdana Menteri ke-10 dan Kerajaan PH-BN sekarang, apabila banyak janji- janji, desakan dan laungan reformasi dilontar dan diluahkan ketika menjadi pembangkang. Bukan satu malahan berpuluh janji ini dizahirkan melalui ucapan dan dibukukan dalam buku manifesto pada saban kali pilihan raya diadakan yang akan dilaksanakan oleh mereka jika terpilih menjadi kerajaan. 

Tidak sedikit pengorbanan, darah dan air mata yang mengalir daripada pejuang reformasi demi perjuangan menegakkan sebuah negara yang menjaga kepentingan rakyat. Rakyat sedia berkorban demi melihat sebuah perjuangan yang dilaungkan demi rakyat dan bukan demi kronisme, korupsi dan nepotisme. Terpesona dengan kata- kata reformasi, maka rakyat serahkan jiwa dan raga mereka, tambahan pula rakyat diyakinkan dengan kesungguhan pemimpin mereka mengemukakan pelbagai formula untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat. Terciptalah formula menurunkan harga kereta, minyak dan segala yang membebankan rakyat. Walau sebahagian memberi amaran bahawa ia bukan semudah yang dituturkan namun rakyat tetap percaya.

Kini, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ditakdir Allah memegang tampuk kuasa pada PRU-15. Kuasa sudah dalam genggaman. Genggaman kuasa yang diimpikan sudah hampir melengkapi dua tahun usia kerajaan PH-BN. Dalam tempoh ini, yang diharapkan rakyat adalah solusi kepada bebanan hidup. Kesan pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia masih menghantui rakyat. Tidak dinafikan banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan ketika itu untuk membantu mereka menghadapi COVID-19. Mendengar janji lunak dalam setiap ceramah selama bertahun- tahun seperti lagu “azizah”, rakyat sangat terpesona dan terkesima. Maka rakyat memilih Pakatan Harapan dengan harapan, mereka akan terus dibantu menghadapi bebanan kos sara hidup. Rakyat meletakkan harapan tinggi agar ada perubahan dan formula yang berkesan, namun semua hanya tinggal formula semata-mata. Tiada formula istimewa yang dipersembahkan melainkan justifikasi untuk membenarkan tindakan kerajaan.

Terbaru, Kerajaan mendakwa kenaikan diesel ini tidak dapat dielakkan demi menyelamatkan negara yang rugi akibat penyeludupan. Untuk lebih meyakinkan rakyat, maka dikeluarkan segala data dan angka kepada rakyat. Dipersembahkan angka bernilai berbilion untuk menakutkan rakyat bahawa langkah Kerajaan ini adalah tindakan yang betul. Penyeludupan yang berlaku ini sangat besar, kononnya. Jika benar ia berlaku sebesar itu, adakah ianya hanya dipandang sepi oleh pihak berkuasa? Tidakkah ini memberi gambaran bahawa sempadan negara ini sangat mudah dicerobohi? Selamatkah kita ketika ini? Apakah Kerajaan hanya mampu berdiam diri tanpa apa- apa tindakan. Jika begini keadaannya, ada sesuatu yang amat tidak kena dengan penguatkuasaan sempadan. Menggunakan hujah penyeludupan sebagai alasan kenaikan bahan api diesel, adakah Kerajaan akan menaikkan harga RON95 yang rendah berbanding negara sekitar Malaysia?.

Jikapun berlaku ada masalah penyeludupan, yang patut diselesaikan adalah meningkatkan penguatkuasaan serta menekan dan menangkap para penyeludup yang mengkhianati negara, bukan menekan rakyat yang setia dengan menaikkan harga diesel secara mendadak sehingga RM3.35 seliter. Bagi meredakan amarah dan keresahan rakyat, maka Kerajaan mejanjikan suatu yang agak luar biasa, iaitu menjamin tiada kenaikan harga barangan. Tidak perlu kepada pakar ekonomi, pesawah yang mengusahakan sawah pun tahu bahawa kenaikan harga diesel bakal memberi kesan domino kepada kos sara diri rakyat. Belum pun sempat seminggu, kita sudah dengar keluhan rakyat akibat kenaikan harga barangan. 

Biar saya ulangi pesanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10. Beliau berpesan ketika awal tahun 2023 dahulu agar Kerajaan tidak melupakan dan menyusahkan rakyat ketika berkuasa. Kerajaan dipilih untuk memimpin rakyat dan mencari jalan membahagiakan rakyat, meningkatkan taraf hidup dan bukan menyusahkan rakyat. 

Buat pemimpin semua, mari kita renungi satu hadis Rasul SAW, amaran buat kita semua. Baginda pernah berdoa kepada golongan yang suka memberi kesusahan kepada orang lain:

اَللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ya-Allah, barangsiapa yang mengurusi urusan umatku kemudian dia menyusahkan urusannya, maka susahkanlah dia”. (Riwayat Muslim)

#TITM 
#adilprihatinberkebajikan 
#malaysiasejahtera

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo