NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rafizi melenting lagi, kali ini selepas disoal lelaki berbaju Umno mengenai harga minyak

Cara Rafizi Ramli mengurus soalan mengejut daripada salah seorang hadirin ketika berceramah di Sungai Bakap malam tadi mengundang kritikan awam.


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sekali lagi menjadi sasaran orang ramai di media sosial selepas tular klip ucapan yang menunjukkan pemimpin PKR itu memberikan reaksi bernada marah terhadap seorang lelaki yang bertanyakan isu harga minyak.

Timbalan presiden PKR itu berucap pada majlis pelancaran jentera Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap di Pulau Pinang malam tadi, apabila dicelah oleh salah seorang hadirin.

"Mengapa harga minyak tak turun?" tanya seorang lelaki yang memakai baju Umno.

Rafizi, yang sebelum ini beberapa kali dikritik atas cara beliau menangani kritikan, kemudian meminta lelaki itu untuk ke depan supaya dapat disoal olehnya. 

"Awak tanya, saya jawab. Mari sini," katanya berulang kali mengajak lelaki tersebut untuk naik ke pentas utama, sambil memanggil lelaki itu "kawan Sanusi", merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang terkenal dengan ucapannya menyentuh janji PH menurunkan harga minyak sekiranya berkuasa.

Lelaki itu enggan menurut ajakan Rafizi untuk disoal di depan orang ramai, walaupun mula diherdik oleh beberapa penyokong PKR.

Rafizi kemudiannya mengulangi naratif kerajaan dalam mempertahankan penarikan balik subsidi pukal untuk bahan api seperti petrol dan diesel. 

Katanya, perbelanjaan menampung subsidi kini mencapai RM20 bilion.

"Saya sebut dulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditanggung, kenapa nak hapuskan subsidi?" kata Rafizi, yang kerap diberikan panggilan "Raja Formula" oleh pengkritik disebabkan "formula" menurunkan harga minyak yang dipopularkan beliau beberapa tahun lalu.

Reaksi Rafizi mengundang kemarahan pengguna media sosial, yang rata-rata mempersoalkan cara beliau memanggil lelaki itu di hadapan orang ramai.

Ramai berkata ia menandakan menteri itu tidak cerdik mengurus soalan mengejut daripada rakyat. 

"Bawa bertenang YB. Awak tu ada lemah jantung. Elok berundur. Nampak dah tak boleh dah tu," tulis Hanaffy Khairil Hezzery.

"Baru hang tau... Dulu masa pembangkang hang melalak bab minyak siap guling guling atas jalan lagi. Bila dah jadi kerajaan spin sana spin sini. Mana formula hang?" tulis pengguna Facebook, Mat Petai. 

Beberapa pengguna mempersoalkan dakwaan Rafizi mengenai harga minyak mentah, dan berkata ia masih lagi dalam lingkungan AS$70 hingga AS$80 seperti "masa dulu" yang disebutkan menteri itu. 

"Eh masa berjanji dulu tak pernah sebut pun harga minyak dunia mesti rendah atau jumlah hutang negara tak naik sebagai syarat utama nak turunkan harga minyak?" kata Ril Mansor.

Banyak komen sinis mencadangkan Rafizi menggunakan naratif sama ketika menjawab rintihan orang ramai mengenai kenaikan harga ayam tidak lama dulu. 

"Patut kena jawab macam ni, kalau minyak naik jangan pakai minyak. Pakai air," tulis Ahmad Azil. 

Manakala Amirul Asraf berkata sebagai pengeluar minyak, Malaysia sebenarnya mendapat keuntungan ketika minyak mentah naik harga. 

"Negara kita pengeluar minyak, harga minyak naik lagi la banyak untung bila eksport. Takkan nak jual kat rakyat sendiri pun guna harga eksport?

"Ikut logik kalau bagi percuma pun tak rugi kot sebab boleh cover dengan jualan eksport?" tambahnya.

Ucapan Rafizi itu beberapa jam sebelum harga diesel di pam minyak seluruh Semenanjung naik mendadak kepada pada kadar RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi susulan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Mac lalu, Rafizi mengundang kritikan selepas memuat naik klip video menunjukkan beliau tidak menghiraukan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan data peribadi dalam PADU.

"Suka koranglah, nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya," katanya beberapa jam sebelum tamat pendaftaran untuk pangkalan data kerajaan yang mahu dibangunkannya.

Pada November 2022, beberapa hari sebelum pilihan raya umum, Rafizi memarahi seorang wartawan MalaysiaNow yang bertanyakan soalan mengenai syarikat berkait PKR, Invoke dan pengisytiharan asetnya yang menunjukkan lonjakan RM17 juta. (Lihat video di sini)

Beliau berulang kali meremehkan soalan wartawan, sambil menyindirnya tidak mahir dalam bidang kewangan.

"Sebab tu saya cakap balik dan cuba fahami kewangan sebab saya baru terangkan tadi tentang modal saham. Anda tak faham ke? Saya dah jawab soalan ketiga anda. Dapat tangkap?"



Sumber | MalaysiaNow 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo