NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BDS nyatakan sebab kena boikot BlackRock



SHAH ALAM - Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menggesa kerajaan untuk memboikot syarikat pelaburan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, BlackRock atas sebab-sebab tertentu.

Gerakan itu berkata, mereka menyasarkan BlackRock kerana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan besar yang membekalkan senjata kepada Israel, iaitu Lockheed Martin, RTX, Northrop Grumman, Boeing dan General Dynamics.

“Syarikat itu terlibat dengan genosid di Gaza jadi ia perlu dikategorikan sebagai pemudah pembunuhan beramai-ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tengku Zafrul menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Katanya, ia merupakan pemegang saham terbesar Apple dan turut mempersoalkan ada pihak yang menentang penglibatan BlackRock masih menggunakan produk keluaran syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, BDS memaklumkan bahawa BlackRock mempunyai pelaburan yang terbesar di Israel, termasuk memiliki firma Kreos Capital British-Israel yang menyediakan dana kepada syarikat permulaan dalam sektor berteknologi tinggi.

Gerakan itu turut mendakwa Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink adalah penyokong kuat negara haram berkenaan.

“Beliau juga berbangga untuk mengumumkan penglibatannya dalam menindas penunjuk perasaan pelajar di Universiti Colombia,” ujarnya lagi.

Tambah gerakan itu, ia mengamalkan strategi 'boikot yang disasarkan' yang mana hanya beberapa syarikat terpilih akan disasarkan untuk usaha boikot berdasarkan beberapa kriteria.

“Ia termasuk tahap keterlibatan, ketersediaan pilihan untuk pengguna, dan kebarangkalian kejayaan.

“Berdasarkan pertimbangan di atas, pergerakan BDS global tidak menyeru untuk memboikot produk Apple, WhatsApp, atau Facebook,” katanya.

BDS Malaysia turut menggesa Tengku Zafrul untuk mempertimbangkan semula keputusan membenarkan BlackRock memiliki saham dalam MAHB.

Menurutnya, ia merupakan aset strategik kepada negara kerana kontraknya menguruskan sebanyak 39 lapangan terbang di negara ini.

“Syarikat yang bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza tidak boleh dibenarkan memiliki sebahagian besar aset strategik kita,” tegasnya.



Sumber | Sinar Harian 






 


 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo