NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Sabah: BN-PH-Warisan-KDM lawan GRS?

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan menjadi rebutan pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya Disember tahun depan. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka bekerjasama bagi berdepan PRN Sabah dijangka tahun depan, meneruskan kesinambungan di peringkat persekutuan terjalin sejak 2022.

Sumber berkata, namun kerjasama itu tidak akan membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor yang turut menjadi sebahagian komponen dalam kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim dibentuk pasca PRU15.


Sebaliknya, sumber memberitahu FMT pakatan itu dijangka turut disertai Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), kedua-duanya juga berada dalam pentadbiran Putrajaya.

Beliau mendedahkan, walaupun majoriti pimpinan BN dan PH negeri bersetuju dan hanya menunggu pengesahan ketua parti masing-masing, namun ada yang membantah cadangan kerjasama terbabit kebanyakannya daripada PKR.


Dakwanya, Pengerusi PH Sabah Christina Liew antara wakil rakyat PKR membantah cadangan itu kerana mahu kerjasama dengan GRS yang terjalin sejak Januari 2023 dan mentadbir bersama Sabah diteruskan pada PRN.


“Tetapi majoriti pemimpin PH khususnya DAP mahu kerjasama dengan BN, setuju lawan GRS.

“Di negeri kita sudah putus tapi di peringkat presiden belum putus…gabungan yang pasti sekarang ialah BN-PH. Mungkin tambah Warisan dan KDM,” katanya kepada FMT.

Malah sumber itu mendakwa, agihan 73 kerusi DUN juga sudah dibuat dengan BN akan membawa cabaran di kebanyakan kawasan luar bandar manakala PH di bandar.


“Cuma yang akan bertindih jika ada parti lain masuk sebagai contoh Warisan…adalah dalam lima atau enam kerusi bertindih (dengan Umno), tetapi itu masih boleh dirunding sehingga ada keputusan menang-menang,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi membayangkan kerjasama BN-PH di peringkat pusat yang telah bersama melalui PRN di enam negeri dan beberapa PRK, terbaru di Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu mungkin diterjemahkan di Sabah.

Kenyataan presiden Umno menyusul kenyataan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin minggu lalu yang memberi isyarat parti itu akan membentuk satu gabungan atau gagasan baharu pada PRN akan datang.

Beliau mengakui perkembangan politik semasa negara termasuk di Sabah menunjukkan tiada satu parti mampu memerintah secara solo, melainkan melalui gabungan.


Umno Sabah sebelum ini pernah mengumumkan kerjasama dengan Warisan untuk berdepan GRS pada PRN namun setakat ini tiada pengumuman rasmi.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mahu mengukuhkan kerjasama dengan PH Plus yang ketika ini bersama pihaknya mentadbir kerajaan Sabah.

Pada 11 Jan tahun lalu, Hajiji melantik Adun PH termasuk Christina sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri susulan rombakan Kabinet menyaksikan Bung digugurkan sebagai timbalan ketua menteri selepas BN menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan ketua menteri sehingga mencetuskan kemelut politik.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

FMT telah menghubungi Christina untuk mendapatkan maklum balasnya.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo