NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK KKB tunjuk siapa sebenarnya yang ‘tunggang’ agama



BANGI: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan penceramah yang berkempen bahawa calon DAP adalah lantikan ‘ulil amri’ pada PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) baru-baru ini sebagai satu contoh perbuatan menunggang agama.

“Saya ingat dia bercakap sama ada dia faham ataupun dia tak faham ataupun dia faham (tapi) dia buat tak faham. Kalau ya pun nak bodek, janganlah sampai menggunakan agama (secara) yang tak betul,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam ceramahnya sempena Jelajah Selamatkan Malaysia ‘KKB Signal Rakyat’ anjuran Jabatan Penerangan PAS dan Harakah di Dewan D Mawaddah, di sini semalam.

Terangnya mengenai ayat al-Quran berkenaan, Allah SWT memerintahkan kewajiban taat kepada pemimpin tetapi bukanlah ketaatan mutlak, sebaliknya bersyarat iaitulah selagi mereka itu taat kepada Allah dan Rasul.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, pihak tidak menyokong pula dikatakan sebagai penentang di mana menggunakan kekuatan untuk menentang pemerintah yang melaksanakan Islam.

Membidas ‘tunggangan’ tersebut, beliau menjelaskan betapa PAS pernah memiliki pengalaman berkawan dengan DAP dan itu melayakkan PAS untuk menasihati pihak lain untuk tidak menjalin hubungan dengan parti tersebut.

Tegas Ustaz Idris, pendirian PAS tidak terus bersama DAP adalah kerana berpegang kepada prinsip yang tidak digadai, demi menjaga maruah Islam di mana tahaluf bersama parti itu adalah hubungan longgar tanpa memberi wala’.

“Kita boleh bersama pada common issue, (pada) perkara-perkara yang nak menentang (seperti) isu ISA, isu Akta Hasutan. Tapi dalam masa yang sama kami bagi tahu bab berkenaan dengan kami nak bercakap bab Islam, (itu) bab prinsip kami.

“Kamu (DAP) jangan duk larang. Ini punya sempadan kita. Dalam perkara yang menjejaskan soal kepentingan Melayu Bumiputera, ini juga kami tak boleh untuk nak kompromi. Ini asas kita berkawan,” ujarnya.

Beliau turut mengimbas keengganan beliau bersama beberapa pemimpin kanan PAS yang lain untuk menandatangani draf manifesto ketika itu apabila DAP mahukan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan.

Ustaz Idris turut menyifatkan masa depan politik yang cerah buat Perikatan Nasional (PN) berikutan sokongan besar diterima daripada para pengundi muda pada PRK Kuala Kubu Baharu itu baru-baru ini.

Menurut beliau, ia menunjukkan keyakinan anak muda kepada PN itu lantaran pengetahuan dan kematangan politik mereka daripada akses maklumat yang diperolehi golongan itu.

Antaranya ujar beliau, anak muda dan kebanyakan rakyat hari ini dapat melihat sikap tidak matang Pakatan Harapan dengan membuat sekatan tertentu kepada pemimpin pembangkang sedangkan kini bukan zaman berpolitik era televisyen hitam putih. – HARAKAHDAILY 18/5/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo