NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hak rakyat Sabah perlu dikembalikan




KOTA KINABALU:
 “Ini adalah hak rakyat Sabah, ia perlu dikembalikan dengan apa cara dan kaedah sekali pun kerana ia adalah tuntutan berperlembagaan,” kata Setiausaha PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan penangguhan rayuan Peguam Negara dalam Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu di sini semalam sama ada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dibenar meneruskan semakan kehakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah.

Menurutnya, PAS negeri komited mendukung perjuangan dan aspirasi rakyat Sabah untuk mendapatkan hak perlembagaan mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pada prosiding itu semalam, tiga Hakim Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022 lalu yang membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berkaitan isu 40 peratus hasil negeri.

Dalam permohonan SLS itu, mereka mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa Kerajaan Persekutuan telah melanggar dan bertentangan dengan perlembagaan di bawah perkara 112D (1) dan (94) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah.

SLS juga mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa kelayakan 40 peratus hasil Sabah yang dituntut oleh kerajaan negeri adalah masih kekal dan mesti dibayar oleh Persekutuan bagi setiap tahun kewangan daripada tahun 1974 hingga 2021.

Bagi SLS, kegagalan Kerajaan Persekutuan membayar 40 peratus itu kepada Sabah sepanjang tempoh berkenaan adalah dianggap telah melanggar hak asasi rakyat dan negeri ini.

Sahar berkata, pihak kerajaan tidak sewajarnya berdolak dalik dalam hal itu kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama.

Tambahnya, hak-hak negeri perlu ditunaikan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Walaupun begitu, kita tidak akan mendahului apa-apa pun keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah pada masa hadapan.

“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk turut membangun sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung,” ujarnya.

Menurutnya, dengan adanya dana itu, pihak kerajaan negeri boleh merancang pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan ekonomi untuk rakyat.

Ini ujarnya, soal infrastruktur yang jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung serta taraf hidup rakyat dapat dipulihkan sebaik mungkin.

Katanya, semangat federalisme adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bukan sahaja kepada negeri-negeri lain tetapi juga hak Sabah yang perlu ditunaikan.

“Bagi kita, apapun usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk kepentingan negeri dan rakyat Sabah yang mempunyai asas perlembagaan perlu disokong oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik kepartian,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 18/5/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo