NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK KKB: Pemimpin Bersatu nafi PN kalah kerana isu perkauman



PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menafikan kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kuala Kubu Baharu berpunca isu perkauman menyebabkan pengundi bukan Melayu terus menjauhkan diri daripada komponen itu.

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full, sebaliknya mendakwa kekalahan Khairul Azhari Saut di tangan Pang Sock Tao daripada Pakatan Harapan (PH) disebabkan bantuan diumum kerajaan sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, bantuan itu antaranya seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menempatkan 245 keluarga peneroka estet getah untuk meraih sokongan komuniti India, selain kenaikan gaji penjawat awam.

Dakwa Chong, kekalahan itu juga berpunca daripada peratusan pengundi Melayu keluar mengundi yang rendah disebabkan ramai bekerja di luar tidak dapat pulang kerana keadaan ekonomi yang lembap.

“Undi Cina tidak berubah banyak, ramai memilih tidak keluar mengundi. Mereka yang keluar tetap sokong PH.

“Isu-isu perkauman tidak membawa impak kepada pengundi kerana keputusan PRK nampak berada pada status quo sahaja berbanding PRN lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas dakwaan kegagalan PN merampas DUN Kuala Kubu Baharu disebabkan kempen perkauman dibawa segelintir pemimpin komponen itu yang tidak diterima di kawasan bercampur.

Sebuah badan pemikir Ilham Centre dalam kajian lapangannya berkata strategi PN untuk meneruskan kempen tema agama serta kaum sudah tepu ke siling.

Dalam tempoh berkempen, beberapa pemimpin PN seperti Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan isu vernakular untuk mengaitkan Pang yang mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong, Hulu Langat dan Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Walaupun memohon maaf kepada Pang, Fadhli pada 29 April lalu berharap isu Pang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ dan diingati pengundi sehingga hari pengundian.

Pada 9 Mei lalu, Presiden PAS Hadi Awang dalam kempen PRK itu mengingatkan ahli dan penyokong Umno di Selangor tidak mengulangi kesilapan kehilangan kuasa politik seperti berlaku di Singapura.

Katanya, DAP yang lahir daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura adalah parti ekstrem dan melampau yang mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik sehingga boleh menyebabkan kekacauan dalam negara.

Pada PRK Kuala Kubu Baharu, Pang menang dengan majoriti 3,869 undi selepas mendapat 14,000 undi, menewaskan Khairul Azhari, Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).


Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo