NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Diesel subsidi ‘tiris’ lebih RM1.2 juta sehari di Bukit Kayu Hitam

JPJ mengesan kegiatan penyeludupan diesel subsidi menggunakan kenderaan asing di ICQS Bukit Kayu Hitam sepanjang operasinya sejak 15 Mei. (Gambar Bernama)


BUKIT KAYU HITAM: Negara mengalami ‘ketirisan’ diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM1.2 juta sehari, akibat kegiatan penyeludupan menggunakan kenderaan asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengesan perkara itu setelah menyita 18 kenderaan pelbagai jenis dalam Op Tangki di Kuala Muda, Kota Setar dan ICQS tersebut, bermula 15 Mei hingga hari ini.

Katanya, ketirisan minyak bernilai RM1.2 juta berkenaan, yang dikesan sepanjang lima hari operasi, berlaku menerusi modus operandi menggunakan kenderaan seperti pikap, dan lori treler yang diubahsuai dengan tangki tambahan.

“Dalam operasi ini, kita dapati kebanyakan kenderaan asing mengubah suai tangki untuk menyeludup diesel ke negara jiran. Apa yang mendukacitakan, penyeludup ini masuk dan keluar seludup diesel hampir lima perjalanan sehari.

“Bila kita tahan 18 kenderaan ini, kita buat kiraan, lebih kurang RM250,000 ketirisan satu perjalanan, tapi bila kita soal siasat pemandu, dia kata dia buat empat hingga lima perjalanan. Ini di Bukit Kayu Hitam, belum masuk di tempat lain (sempadan),” katanya pada sidang media Op Tangki di ICQS.

Aedy Fadly berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi mengesan kenderaan tersebut bagi mengelak negara mengalami lebih banyak kerugian.

Katanya, terdapat juga suspek yang menggunakan kenderaan persendirian seperti kereta dengan nombor pendaftaran negara jiran.

“Bermula minggu ini, kita akan adakan (operasi) di seluruh negara, malah kita diberi arahan di peringkat tertinggi Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakannya, bagi mencegah kes penyeludupan diesel subsidi ke luar negara.

“Tiada lagi peluang bagi mereka yang melakukan kesalahan ini,” katanya.

Aedy Fadly berkata, operasi dijalankan mengikut Kaedah 34 Ubahsuai Tangki Tanpa Kebenaran (Pembinaan dan Penggunaan) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), serta kaedah-kaedah bawahnya.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan bagi sabitan kali pertama, dan denda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi sabitan kali kedua, boleh dikenakan.

Selain itu, katanya, saman turut dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan seperti tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen kenderaan, teknikal dan tiada insuran.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo