MGF09032023_INTERVIEW-ZAID-IBRAHIM_09-681x454
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara tidak boleh mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh dengan pertuduhan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948.

Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ia kerana pada tahun lalu, kerajaan sudah mengumumkan Akta Hasutan itu akan digunakan untuk kesalahan terhadap raja-raja.

Oleh itu, katanya, Jabatan Peguam Negara perlu berpegang pada itu kerana kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diambil serius.

“Terdapat begitu banyak peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang boleh anda gunakan iatu Seksyen 298A, Seksyen 503, Seksyen 504 dan Seksyen 505.

“Mari berpegang pada janji Kerajaan Perpaduan ini, kami mendengar dengan lantang di jalanan selama 25 tahun bahawa mereka akan memansuhkan undang-undang ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anwar dalam satu kenyataan Julai tahun lalu berkata, Akta Hasutan 1948 masih diperlukan bagi kes-kes yang menyentuh institusi diraja.

Beliau yang ketika itu mengulas pertuduhan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di bawah akta itu berkata, beliau pada dasarnya mengelak Akta Hasutan digunakan namun Menteri Besar Kedah itu telah menyentuh isu kedudukan dan martabat institusi diraja.

“Dari segi dasarnya kita elak penggunaan Akta Hasutan, tapi bila menyentuh kedudukan raja-raja. Soal kritik perdana menteri saya tak pernah gunakan itu (Akta Hasutan).

“Tapi ini soal kedudukan dan martabat raja-raja yang harus kita pelihara dan elak daripada menjadi satu wacana perbahasan politik yang tidak sihat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi institusi Raja daripada sebarang provokasi.

Katanya, ia penting mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

“Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi,” kata Azalina.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, lagipun undang-undang ini dikhususkan untuk memenjarakan mereka yang mahukan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.

“Akmal tidak cuba menggulingkan kerajaan yang sah, itu saya pasti.

“Tidak menggunakannya terhadap Akmal menjadikan kerajaan kelihatan lebih baik dan agak progresif.

“Dengan tidak mendakwa Akmal di bawah hasutan, anda juga tidak mengangkatnya sebagai pejuang kemerdekaan,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dr Akmal ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah. – MalaysiaGazette