NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tubuh suruhanjaya takrif kesalahan 3R, kata kumpulan hak asasi

Pengarah Program Pusat Komas Ryan Chua bercakap pada pelancaran Laporan Perkauman Malaysia 2023.


PETALING JAYA: Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional untuk mentakrifkan lagi kesalahan 3R (kaum, agama dan institusi diraja), kata kumpulan hak asasi manusia.

Pengarah Program Pusat Komas, Ryan Chua, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan akta baharu bagi menghukum pihak mempermainkan isu 3R seperti dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said tahun lalu.

Chua berkata, undang-undang itu penting untuk mewujudkan ekosistem bagi mencegah perkauman dan diskriminasi.

Katanya, kerajaan semasa bergantung kepada “undang-undang kuno” untuk menangani kesalahan itu yang tidak selaras piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

“Walaupun amaran keras kerajaan Madani terhadap penggunaan 3R adalah dipuji, tetapi apa yang dipersoalkan adalah ia dikawal selia dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Undang-undang ini terdedah kepada penyalahgunaan kerana skop dan takrifan yang luas tentang perkara yang menyinggung perasaan,” katanya semasa melancarkan Laporan Perkauman Malaysia 2023.

Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang bertujuan untuk menangani isu sentimen perkauman, ditolak kerajaan terdahulu di Parlimen pada 2020.

Bagaimanapun, Majlis Peguam menggesa kerajaan menimbang semula untuk menggantikan Akta Hasutan pada Julai tahun lalu.

Pada Julai lalu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang mengetepikan cadangan Azalina untuk Akta Negara dan Bangsa dengan mendakwa tidak ada keperluan segera untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi isu 3R.

Dalam pada itu, Chua menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggandakan usaha membendung perkauman dan diskriminasi walaupun beliau konsisten dalam perkara berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, Anwar sangat berhati-hati dalam mengendalikan naratif perkauman dan agama kerana Ahli Parlimen pembangkang memainkan isu itu untuk menjejaskan popularitinya.

Mengulas isu sekolah vernakular, Chua berkata ia dipolitikkan oleh pembangkang selain mempersoalkan mengapa hanya sekolah itu sahaja yang menjadi “sasaran” sedangkan terdapat tujuh jenis sekolah dalam sistem pendidikan.

“Terdapat sekolah kebangsaan, sekolah vernakular, sekolah swasta, sekolah di rumah, sekolah antarabangsa, sekolah agama, dan sekolah menengah persendirian Cina.

“Kenapa sekolah vernakular satu-satunya dijadikan ‘punching bag’. Bersediakah kita memansuhkan sekolah agama jika kita mahu mempunyai satu aliran,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo