SPANCO adalah syarikat yang memegang konsesi menguruskan kenderaan kerajaan sejak 1 Januari 1994
SPANCO adalah syarikat yang memegang konsesi menguruskan kenderaan kerajaan sejak 1 Januari 1994

KUALA LUMPUR: Syarikat SPANCO memegang konsesi untuk pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan selama 30 tahun, sejak ia dianugerahkan bermula 1 Januari 1994.

Sejak itu, SPANCO yang beroperasi pada 16 Ogos 1988 ini menjadi penyedia khidmat pengurusan kenderaan bersepadu terbesar di negara ini.

Ketika ini, sejumlah 36 kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara menggunakan perkhidmatan SPANCO.

Menurut laman web syarikat berkenaan, SPANCO menjadi pilihan utama bagi Kerajaan Persekutuan, kementerian dan agensi kerajaan seluruh negara, dengan pembabitan lebih 13,000 unit kenderaan konsesi.

Konsesi 25 tahun mulai 1 Januari 1994

Pada 1 Januari 1994, SPANCO diamanahkan dengan konsesi selama 25 tahun. Konsesi ini membolehkan syarikat mengatur, membekal dan pemajakan kenderaan dengan peruntukan penyelenggaraan khas untuk kerajaan.

Kenderaan yang dipajak kerajaan diselenggara bagi memenuhi pelbagai keperluan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Perkhidmatan yang disediakan SPANCO adalah kepakaran dalam sokongan kenderaan dan keupayaan pentadbiran yang komprehensif; pengurusan sistem angkatan kenderaan dan FMIS (Fleet Management Information System);

SPANCO turut menyediakan bantuan kecemasan 24 jam; lebih 300 pusat perkhidmatan di seluruh negara; dan 200 tenaga operasi dan kepakaran.

SPANCO juga mencapai pensijilan ISO 9001:2008 yang bagi perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan. Ia kemudian beralih kepada standard ISO 9001:2015 dalam memastikan kualiti servis dipertingkatkan.

Kerajaan pajak kenderaan daripada SPANCO

Menurut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia mengenai Pengurusan Kereta Konsesi bermula 1 Januari 1994, Kerajaan Persekutuan tidak lagi membeli Kereta Salon untuk kegunaan Kementerian dan Jabatan tetapi memajak daripada syarikat yang sudah diberi konsesi iaitu SPANCO.

Kerajaan membiayai kos sewaan, pembaikan dan penyenggaraan bulanan di bawah konsesi berkenaan.

Konsesi ini adalah bagi tempoh 25 tahun mulai 1 Januari 1994 hingga 31 Disember 2018 dan perbendaharaan sebagai agensi pelaksana akan menetapkan kadar sewa, pembaikan dan penyenggaraan bagi kereta konsesi.

Konsesi ini adalah meliputi semua Kementerian dan Jabatan Persekutuan di seluruh negara, tidak termasuk Badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan di bawah Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri.

Surat hasrat kerajaan kepada konsortium baharu untuk ganti SPANCO

Pada 2019, perjanjian konsesi SPANCO dengan kerajaan telah tamat tempoh. Berikutan itu, tender terbuka dimulakan oleh kerajaan untuk kontrak membekal, menyelenggara dan mengurus kenderaan konsesi untuk 15 tahun akan datang. Cadangan dilaporkan diterima daripada sekurang-kurangnya tujuh syarikat.

Pada tahun sama, Berjaya Group dan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu.

Pada Julai 2023, syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV kedua-dua syarikat untuk menguruskan pajakan kenderaan kerajaan.

Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, berkata LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.

Tan berkata, kerajaan telah menamatkan perkhidmatan mereka dan memberikannya kepada SPANCO dan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).

"Kerajaan berfikiran bahawa Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami telah memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya," katanya.

Tan berkata, bidaan yang dilakukan oleh JV terbabit ketika itu adalah yang paling rendah dalam kalangan semua pembida dan ketika itu Naza memiliki 51 peratus kepentingan dalam JV dan 49 peratus oleh Berjaya.

Kerajaan ketika itu membuat tender secara terbuka dengan meminta pihak yang berminat untuk mengemukakan permohonan cadangan (RFP) mengenai konsesi berkenaan. Selain SPANCO serta JV antara Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza, syarikat lain yang menyertai bidaan itu ialah DRB-Hicom Bhd dan Samling Group.

Garis Masa kes SPANCO

1993: SPANCO dianugerahkan kontrak untuk menguruskan kenderaan konsesi kerajaan

2018: Perjanjian SPANCO dengan kerajaan tamat pada Disember

2019: Kerajaan membuka tender kepada syarikat untuk konsesi membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan untuk 15 tahun

2020: Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsortium untuk bersama-sama membida kontrak yang menguntungkan itu

- Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan mereka sudah memilih syarikat konsesi baharu untuk menguruskan kenderaannya, tetapi ia tidak dinamakan

Julai 2023: Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan memfailkan saman terhadap kerajaan dan SPANCO berhubung Surat Niat (LoI) yang ditamatkan dan mendakwa kontrak itu sudah diberikan kepada SPANCO, walaupun tawaran itu lebih tinggi.

Beliau berkata, konsortium itu menerima LoI daripada kementerian untuk menggantikan SPANCO, tetapi kontrak itu ditamatkan secara tidak adil sebelum anugerah akruan ditetapkan untuk diumumkan.

Januari 2024: SPRM melakukan serbuan kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

5 Februari 2024: SPRM turut menyerbu empat syarikat termasuk pembekal kenderaan kerajaan.

5 Feb 2024: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian kerajaan dengan SPANCO merugikan negara. Anwar juga berkata, beliau sentiasa berwaspada mengenai isu itu semasa menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir.

6 Februari 2024: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan individu yang terbabit dalam keputusan pemberian kontrak pembekalan dan pengurusan kenderaan kerajaan kepada SPANCO akan dipanggil untuk membantu siasatan.