SPANCO menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.
SPANCO menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini memaklumkan semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 1990-an akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, mereka yang dijangka dipanggil termasuklah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

Katanya, keterangan daripada semua yang terbabit perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu... katakanlah ia berlaku pada 1998 atau 1999, jadi sesiapa saja yang terbabit ketika itu, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan panggil untuk merekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes," katanya pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak, semalam.

Azam juga mengesahkan SPRM sudah memanggil lebih 20 individu dan juga membekukan kira-kira 80 akaun syarikat serta individu berkaitan dalam kes itu setakat ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan dan beliau tegas terhadap Spanco sejak menjadi Menteri Kewangan.

Kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membuka tender baharu selepas konsensi Spanco selama 25 tahun tamat pada Februari 2019.

Pada Julai tahun lalu, syarikat usaha sama Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada mereka selepas memenangi tender.

Menurut laporan portal The Edge, Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, berkata (LOI) itu adalah berhubung tender membekalkan kenderaan kepada kerajaan.

Bagaimanapun, kontrak itu dikatakan ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2020.

Tan dilaporkan berkata, tender yang dikemukakan syarikat usaha sama yang membabitkan 51 peratus pegangan saham Naza dan baki 49 peratus oleh Berjaya, adalah tawaran termurah di antara semua pembida.

Beliau mendakwa kontrak itu kemudian dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat itu RM700 juta lebih tinggi daripada syarikat usaha sama Berjaya-Naza.

Selain Spanco yang dimiliki ahli perniagaan Tan Sri Robert Tan Hua Choon, pembida lain ketika itu adalah DRB-Hicom, Samling Group serta syarikat usahasama Naza-Berjaya.

Media sebelum ini melaporkan, kontrak baharu itu membabitkan pembekalan 12,500 kenderaan dalam tempoh 15 tahun dengan nilai RM300 juta setahun selepas tahun kelima.

Semua kenderaan yang dibekalkan oleh syarikat terbabit akan digunakan menteri, pegawai kanan kerajaan, jabatan serta polis.

Berikut adalah senarai nama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi tempoh 1990 hingga kini.

PERDANA MENTERI: Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003)

MENTERI KEWANGAN:

- Tun Dr Mahathir Mohamad (2001 – 2003)

- Tun Daim Zainuddin (1999-2000)

- Tun Dr Mahathir Mohamad (1998 – 1999)

- Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991 – 1998)

- Tun Daim Zainuddin (1984-1991)

SPANCO menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.
SPANCO menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.


PERDANA MENTERI: Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009)

MENTERI KEWANGAN: Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2008)


PERDANA MENTERI: Datuk Seri Najib Razak (2009-2018)

MENTERI KEWANGAN: Datuk Seri Mohd Najib Razak (2009-2018)


PERDANA MENTERI: Tun Dr Mahathir Mohamad (2018-2020)

MENTERI KEWANGAN: Lim Guan Eng (2018-2020)


PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yasin (2020-2021)

MENTERI KEWANGAN: Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (2020-2022)


PERDANA MENTERI: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (2021-2022)

MENTERI KEWANGAN: Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (2020-2022)